RONA langsir perlu mempunyai kesinambungan dengan konsep kediaman. - FOTO Google
RONA langsir perlu mempunyai kesinambungan dengan konsep kediaman. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


Langsir di dalam kediaman tidak boleh dinafikan kepentingannya kerana ia mempunyai pelbagai fungsi yang bukan sahaja menghalang pandangan dari luar malah sebagai penyeri ruang.

Malah, dengan adanya langsir, ia juga dapat menjamin privasi isi rumah. Tambahan pula, langsir juga mampu memberi kesan kepada ruang di dalam kediaman secara keseluruhannya.

Justeru, Pensyarah Program Seni Bina, Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Madya Dr Mohd Hafizal Mohd Isa kongsikan beberapa perkara yang mungkin boleh menjadi panduan anda untuk memilih langsir.

1. Bahan langsir

Terdapat pelbagai jenis fabrik langsir yang terdapat di pasaran mengikut kesesuaian penggunaannya. Kebiasaannya fabrik langsir adalah jenis bercorak atau polos.

Pemilihan fabrik biasanya ditentukan berdasarkan warna dan corak fabrik atau bahan pada perabot seperti sofa, warna atau corak kertas dinding, warna cat dan warna permaidani.

Warna polos lebih mudah untuk disesuaikan dengan perabot dan ruang dalaman. Jenis fabrik juga menentukan tahap lipatan langsir 'fold' yang lebih cantik.

Fabrik yang terlalu berat akan menyebabkan langsir tidak dapat dilipat dengan kemas. Manakala, jika fabrik yang terlalu ringan digunakan, ia mungkin tidak 'jatuh' dengan baik.

Tip memilih fabrik yang sesuai adalah dengan menggunakan sampel atau lembaran kain yang besar dan dilipat-lipat untuk melihat sama ada lipatan yang terhasil cantik selain untuk melihat kesesuaian warna serta corak dipilih dengan lebih jelas.

Selain itu, ketebalan fabrik boleh menentukan tahap ketelusan cahaya masuk ke dalam ruang melalui langsir.

Terdapat langsir gelap atau 'black out' yang digunakan untuk menyekat kemasukkan cahaya matahari dan sinar UV ke dalam ruang.

Oleh itu, langsir jenis ini mampu untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik terutamanya bagi tujuan penyejukan ruangan dalaman.

Bagi langsir jenis bidai atau 'blinds,' terdapat pelbagai jenis bahan yang digunakan seperti, kayu, buluh, aluminium, fabrik, vanil, dan kulit.

FUNGSI langsir bukan sekadar ‘menjaga’ privasi pemilik kediaman. - FOTO Google
FUNGSI langsir bukan sekadar ‘menjaga’ privasi pemilik kediaman. - FOTO Google

2. Jenis lipatan langsir

Terdapat pelbagai jenis gaya lipatan "drapery" langsir yang terdapat di pasaran. Antaranya adalah 'tailored pleat', 'pinch pleat', 'inverted pleat', 'grommet', 'goblet', 'Dutch pleat', 'pencil pleat', 'French pleat' dan 'rod pocket.'

Semua jenis lipatan ini akan mempengaruhi tampak keseluruhan langsir dengan memberikan impak alunan lipatan yang berbeza.

Selain itu pemilihan ini juga bergantung pada trek atau rel dan jenis rod langsir yang dipilih sama ada memerlukan gelungan, pengepit, penyangkut dan sebagainya.

Bagi penata hias yang sukakan kesederhanaan dan minimalis, lipatan jenis 'rod pocket' dan 'grommet' sering menjadi pilihan.

3. Lapisan langsir

Sering kali kita melihat langsir dipasang berlapis-lapis. Selain untuk mencantikkan, ia juga bertujuan untuk mengawal jumlah kemasukan cahaya ke dalam ruang.

Bagi yang inginkan kesan minimal, langsir satu lapis sudah memadai. Langsir dua lapisan terdiri daripada dua kombinasi iaitu sama ada menggabungkan langsir jarang di belakang dan langsir tebal di hadapan atau menggabungkan langsir tebal dan kepala langsir atau di panggil langsir.

Untuk langsir satu atau dua lapis, ia boleh dikemaskan dengan menimpannya di dalam 'cornice box' yang terdiri daripada kotak kayu yang dibalut dengan fabrik atau kotak diperbuat dari kepingan gipsum atau kayu.

Bagi langsir lebih dari dua lapisan, biasanya dibiarkan terdedah untuk menghargai kecantikan dan keunikannya. Lapisan langsir akan memakan ruang dalaman dan sudah tentu bagi ruang yang sempit, langsir dengan satu atau dua lapisan sudah memadai.

PASTIKAN langsir anda mempunyai fungsi di setiap ruang yang diletakkan. - FOTO Google
PASTIKAN langsir anda mempunyai fungsi di setiap ruang yang diletakkan. - FOTO Google

4. Saiz langsir

Sering kali, ramai pengguna tidak pasti akan saiz ukuran langsir yang patut dibeli berdasarkan saiz bukaan dan ketinggian pada tingkap serta pintu.

Secara amnya, kita tidak mahu langsir menutupi sebahagian besar ruang tingkap atau pintu apabila ditarik ke tepi.

Hal ini kerana, langsir akan melindungi kecantikan bingkai tingkap, menghalang pencahayaan masuk ke dalam ruang, selain mengurangkan pengaliran udara keluar masuk ke dalam ruang.

Untuk tujuan itu, trek atau rel dan rod langsir perlu dipasang sekurang-kurangnya 0.2 meter (lapan inci) lebih tinggi daripada bingkai tingkap atau pintu dan sekurang-kurangnya 0.2 meter lebih lebar dari bingkai tingkap dan pintu.

Bagi labuh pula, ia berdasarkan pada kesesuaian dan cita rasa anda.

Kebiasaannya, labuh langsir adalah 1/8 hingga 1/4 inci dari lantai bagi pintu dan sekurang-kurangnya 0.45 meter (18 inci) lebih labuh dari bingkai bawah tingkap.

5. Pengikat langsir

Pengikat langsir atau 'tieback' digunakan untuk mengikat langsir supaya kelihatan lebih kemas selain menaikkan seri langsir.

Ia biasanya diikat begitu sahaja atau disemat di tepi pintu dan tingkap. Terdapat pelbagai jenis pengikat langsir yang terdapat dipasaran iaitu jenis rumbai, tali, panel kain, logam dan kulit.

Ada sesetengah pengikat ini disematkan dengan magnet, butang dan gelung tali pengikat. Bagi yang gemarkan kelainan, pengikat langsir tidak digunakan tetapi diganti dengan penyangkuk langsir yang biasanya diperbuat daripada logam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 6:40 AM