Milan: Jurulatih Juventus Massimiliano Allegri dijangka terus mempertaruhkan nasib apabila pasukannya yang dilanda pelbagai masalah kecederaan, bakal melayan kunjungan Parma dalam usaha mengukuhkan pendahuluan di Serie A ke atas pencabar terdekat, Roma.

Juve mempunyai kelebihan tiga mata di persada Serie A minggu lalu apabila Roma berdepan kekalahan mengejut 2-0 di tangan Napoli.

Anak buah Allegri akan melayan Parma yang berjaya melonjak dari tangga terbawah menerusi kemenangan 2-0 ke atas Inter dan mereka juga berbekalkan semangat tinggi selepas menundukkan Olympiakos 3-2 pada saingan Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Begitupun, kecederaan di bahagian pertahanan bakal menyaksikan Allegri mengekalkan formasi 4-3-1-2 yang dilihat lebih efektif buat Juve setakat ini.

Pemain Ghana Kwadwo Asamoah yang biasanya diturunkan sebagai sayap kanan, akan beraksi di pertahanan kiri tetapi dia masih lagi menanggung kecederaan lutut.

Tetapi, khabar gembira yang diterima ialah kemungkinan Carlos Tevez diturunkan dan bakal bermain di belakang Fernando Llorente serta Alvaro Morata.

Komitmen di Eropah turut menjejaskan Roma yang bakal melayan kunjungan Torino apabila mereka dilanda masalah kecederaan.

Roma kehilangan pertahanan Jose Holebas (tulang selangka) yang cedera ketika tewas 2-0 di tangan Bayern Munich awal Khamis lalu manakala pemain tengah Alessandro Florenzi berdepan masalah pergelangan kaki.

Roma sudah pun kehilangan pertahanan Davide Astori, Leandro Castan, Maicon dan masalah kini turut melanda pemain tengah Seydou Keita.

Sementara itu, Lazio yang tercicir dua mata sepanjang enam aksi terakhir, melonjak ke tangga ketiga liga dan hanya ketinggalan enam mata di belakang Juventus serta tiga mata di belakang Roma.

Anak buah Stefano Pioli itu meledak 20 gol sepanjang 10 aksi dan suku daripadanya disumbangkan penggempur Serbia, Filip Djordjevic. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:05 AM