KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan akan menggunakan senjata renjat (taser gun) terhadap peserta perhimpunan Bersih 4.0, hujung minggu ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, senjata tersebut yang memang dimiliki PDRM sedang diagih-agihkan ke pelbagai peringkat pasukan keselamatan itu untuk kegunaan masing-masing.

"Taser gun ini dapat melumpuhkan sementara atau melemahkan pesalah atau penjenayah tapi tidak akan digunakan untuk perhimpunan Bersih.

"Di masa hadapan kita akan lebih banyak guna taser gun (untuk pencegahan jenayah)," katanya dalam sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran laman web iSelamat.my di sini, hari ini.

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohamed Sadique bagi pihak menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Polis Kuala Lumpur menganggap perhimpunan Besih tidak dibenarkan atau haram kerana tidak memenuhi syarat perhimpunan aman. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 2:07 PM