Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan merujuk kepada laporan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) menjelang Mesyuarat Ahli Majlis dan Kongres badan induk serantau itu minggu depan mengenai kajian Piala Dunia 2034.

Menurut Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin (kiri), mereka akan mendapat gambaran lebih terperinci mengenai Piala Dunia 2034 selepas diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kelmarin bahawa negara-negara ASEAN sudah memberi lampu hijau mengenai kajian penganjuran kejohanan berkenaan.

“Kajian berkenaan sudah pasti membabitkan semua negara Asia Tenggara, jadi kita tunggu pembentangan dan penjelasan lebih terperinci dari pihak AFF,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Jelasnya, FAM perlu pemberitahun lebih terperinci untuk bersedia mengenai langkah yang harus dilakukan seterusnya sebelum bidaan rasmi.

“Mungkin akan ada kerjasama dalam kalangan negara Asia Tenggara, semua perkara seperti itu perlu dikaji. Jadi, kita akan bersiap-sedia,” katanya.

Kelmarin Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa ASEAN mempunyai tempoh kurang daripada empat tahun sebelum membuat bidaan rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Sukan ASEAN Kelima (SOMS-5) meluluskan untuk memulakan kajian menjadi tuan rumah sebelum membuat bidaan rasmi menjelang 2019.

AFF akan mengambil peranan menguruskan kajian ini selepas menteri sukan setiap negara berbincang dan setuju dengan cadangan Malaysia untuk memulakan perkara ini secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Ogos 2015 @ 5:07 AM