Khairy Jamaluddin. FOTO Nik Hariff Hassan
Khairy Jamaluddin. FOTO Nik Hariff Hassan
Meor Riduwan Meor Ahmad


MALAYSIA, Indonesia, Thailand dan Vietnam adalah calon terbaik untuk membida penganjuran tuan rumah Piala Dunia 2034.

Itu pandangan bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menyokong hasrat anggota ASEAN untuk membida bersama sebagai hos penganjur acara bola sepak terbesar dunia itu.

Beliau yang juga bekas Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, pandangan itu berdasarkan beberapa faktor iaitu kemampuan kewangan, populariti bola sepak dan kemudahan infrastruktur dimiliki negara terbabit.

Katanya, cadangan berkenaan bukan baru dan pernah dibangkitkan oleh beliau dan dibincangkan dengan rakan sejawatan pada 2015.

"Saya memetik kenyataan Mesyuarat Sukan Menteri-Menteri ASEAN di Myamnar pada 2017 yang mengalu-alukan perkembangan kajian kebolehlaksanaan cadangan itu dan menyokong mana-mana negara anggota untuk membida tuan rumah Piala Dunia 2034.

"Kajian itu turut membabitkan Persekutuan Bolasepak Asia (AFF) dan perkara ini sudah dibincang dengan Datuk Seri Aizuddin Ahmad selaku Setiausaha Agung AFF," katanya hari ini.

Khairy Jamaluddin berkata, disebabkan bukan lagi menteri, beliau tidak mengetahui status kajian itu.

"Mungkin kajian itu sudah selesai dan menyakinkan kepimpinan ASEAN untuk beri cadangan itu.

"Waktu saya cadangkan idea ini, kita masih tidak tentu dari segi berapa negara akan terbabit sebagai tuan rumah, sama ada dua seperti Jepun dan Korea Selatan sebelum ini atau lebih," katanya.

Mengulas lanjut, katanya persoalan seperti berapa negara akan terbabit sebagai tuan rumah perlu diperhalusi sebaiknya sebelum bidaan rasmi dikemukakan.

Katanya, pihaknya turut mendapat isyarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa yang menimbangkan kemungkinan lebih daripada dua negara jadi tuan rumah.

"Kalau lebih dari dua negara, adakah ia akan dikenali Piala Dunia Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Thailand atau Piala Dunia ASEAN? Ini antara soalan perlu dijawab sebelum bidaan rasmi.

"Secara praktikalnya, tidak boleh lebih daripada empat negara tuan rumah. Dua negara ideal, tapi demi ASEAN, empat sesuai.

"Kena tengok kemampuan kewangan, siapa bersedia nak labur Piala Dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:11 PM