Uee yang banyak membintangi drama termasuk High Society, Hogu’s Love, Buddy Buddy dan Ojakgyo Brothers, mahu kembali ke pentas sebagai penyanyi semula.

Dia berjaya membuktikan dirinya sebagai idola bertukar aktres yang kian meningkat. Biarpun berjaya menempatkan diri sebagai pelakon, Uee masih malu menggelarkan dirinya sebagai penyanyi.

“Saya gembira apabila dapat menari di pentas. Saya mahu berada di pentas bersama After School lagi, satu hari nanti,” katanya.

Sementara itu Uee akui gembira dengan kemunculan semula Wonder Girls baru-baru ini. Katanya, kemunculan semula Wonder Girls ke dalam industri mengingatkannya pada persembahan yang pernah dilakukannya dulu.

“Ini terutama pada kerja keras dan masa yang dikorbankan, semata-mata mahu mendapatkan persembahan yang terbaik. Setiap kali terfikir mengenainya, saya akan sebak.

“Bukankah satu hal menarik kerana Wonder Girls kembali dalam industri hiburan? Saya akan sentiasa sokong mereka,” katanya.

After School berehat selama dua tahun dan beberapa anggota kumpulan itu seperti Raina dan Lizzy bergerak solo dalam tempoh itu.

“Saya nak tekankan, After School tidak pernah dibubarkan. Masa berlalu dan kini sudah dua tahun. Jujurnya, saya tidak sabar untuk buat ‘comeback’ selepas setahun berlalu.

“Tapi selepas melalui tempoh itu (setahun), saya belajar untuk bersabar. Saya fikir, apa kata kita bekerja keras dan hasilkan satu ‘comeback’ yang sempurna,” katanya.

Dia akui hampir semua ahli After School bersetuju kerana mereka kumpulan yang membuat persembahan dan mahu kelihatan sempurna dan tidak mahu terlalu terkejar-kejar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2015 @ 5:02 AM