Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!!! Sejak meninggalkan JYP Entertainment pada 2013 dan keluar daripada Wonder Girls tahun lalu, Ahn Sohee bekerja keras mencipta nama sebagai pelakon.

Pelbagai watak sudah dicuba dan terbaru menerusi filem Train to Busan, populariti pelakon berusia 25 tahun itu meningkat apabila lakonannya mendapat pujian ramai.

Jika masih kekal bersama Wonder Gilrs peluang untuknya menjayakan watak itu pasti tipis kerana terikat dengan jadual latihan serta persembahan.

Sohee mengakui kini baru dia dapat merasa erti kebebasan dan mencuba perkara yang disukainya.

“Saya mula diperkenalkan sebagai anggota Wonder Girls pada usia 14 tahun dan kehidupan ketika itu jauh berbeza dengan gadis sebaya.

“Pada usia sekarang, saya mahu menikmati hidup seperti wanita lain dan cuba mencipta kenangan indah sebanyak mungkin,” katanya.

Sohee bersyukur keputusannya meninggalkan Wonder Girls berbaloi apabila tawaran berlakon datang silih berganti.

Terbaru, Sohee terikat dengan penggambaran filem Single Rider serta siri Entourage.

Menerusi Single Rider, dia sekali lagi mendapat kepercayaan membawakan watak muda daripada usia sebenarnya iaitu penuntut sebuah universiti di Australia. Filem yang dijangka menemui penonton tahun depan itu turut dibintangi Lee Byung Hun dan Gong Hyo Jin.

Manakala untuk drama Entourage pula Sohee melakonkan watak cinta pertama Seo Kang Joon dan tayangannya dijadualkan bermula pada 4 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 6:54 AM