BEKAS anggota The Girls  kembali meriahkan dunia nyanyian dengan single Lumrah Cinta.
BEKAS anggota The Girls kembali meriahkan dunia nyanyian dengan single Lumrah Cinta.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Darah seni yang mengalir dalam tubuhnya membuatkan Sharzura Shamsiralan kembali mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Baginya, peluang sentiasa terbuka luas jika berusaha mencapai apa yang diinginkan.

Sebelumnya, Sharzura pernah menganggotai kumpulan The Girls bersama Zura, Farisha, Ita dan Hanim.

Menggunakan nama Abby, mereka sempat merakamkan album berjudul Sentuhan terbitan Nasir Ahmad Nawab pada 2002.

“Saya sempat bersama mereka kira-kira setahun sebelum menarik diri kerana nak fokus pada rumah tangga. Bahkan anggota lain juga berbuat demikian kerana komitmen tertentu dan digantikan anggota baru.

“Bagaimanapun, saya menyanyi juga di mana-mana majlis bagi melepaskan gian. Lagipun bukan mudah sebenarya nak meninggalkan bidang seni selepas melangkah masuk di dalamnya,” katanya yang mengakui banyak menimba pengalaman bersama The Girls.

Sharzura juga pernah bergerak solo sebelum menyertai The Girls. Memandangkan suaminya juga seorang pemuzik, dia akhirnya nekad kembali menghasilkan single berjudul Lumrah Cinta.

“Saya teringin sangat nak buat ‘comeback’ tapi masih tertunggu-tunggu masa yang sesuai. Suami pula beri idea untuk saya buat single dan ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, saya terus bersetuju.

“Lagu Lumrah Cinta sebenarnya ciptaan dan lirik sepenuhnya oleh saya sendiri, manakala suami Nik Ariff sebagai penyusun muzik. Dia juga bertindak sebagai pengurus saya,” katanya.

Meskipun ada yang beranggapan agak leceh diuruskan suami sendiri, Sharzura sebaliknya selesa dengan cara ini.

“Saya langsung tiada masalah dan berasa lebih selamat. Orang pun tak boleh kata apa-apa melihat kami berdua kemana-mana.

“Saya juga beruntung kerana suami mempunyai bakat bermain muzik dan mampu bermain muzik. Jadi, kelebihan itu digunakan sebaiknya untuk membantu saya kembali mencuba nasib dalam nyanyian.

“Alhamdulillah lagu ini sudah mula disiarkan di beberapa stesen radio dan ini satu perkembangan positif,” katanya.

Dia yang kini menetap di Kota Bharu, Kelantan sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi mempromosikan single berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2015 @ 10:12 AM