WILL.I.AM dan 2NE1.
WILL.I.AM dan 2NE1.
WONDER GIRLS dan Akon.
WONDER GIRLS dan Akon.
Oleh Georgie Joseph

Umpama tidak bertepian, fenomena gelombang muzik Korea Selatan atau popular sebagai K-Pop jelas sukar disekat.

Sama ada strategi tersembunyi atau ikhlas mengikat kolaborasi dengan penyanyi di Barat, makin ramai penyanyi negara itu membuka langkah melebarkan pengaruh.

Tiada lagi istilah hak eksklusif untuk negara mereka atau khas buat Asia saja, segala kemungkinan direalisasikan di pentas global pula.

Biarlah menggunakan bahasa sendiri tapi itu jelas bukan kekangan buat mereka untuk memancing penyanyi terutama dari Amerika Syarikat.

Pada masa sama, penyanyi dari negara terbabit juga mengalu-alukan ikatan sebegitu apa lagi yang baru mahu menembusi pendengar Asia.

Paparan RAP hari ini membawakan beberapa kolaborasi yang bukan saja menjadi sebutan bahkan tidak patut dilepaskan untuk didengari.

Kolaborasi lain

-4Minute dan Amerie-Hear 'em All

-Junsu (XIA) dan Quincy-Incredible

-Wonder Girls dan School Gyrls-The DJ is Mine

-Skrillex & Diplo dan G-Dragon & CL (2NE1)

-Psy dan Snoop Dogg-Hangover

Psy mungkin boleh dikecualikan berbanding artis K-Pop lain gara-gara namanya menjadi fenomena berikutan muzik videonya menjadi viral di seluruh dunia.

Namun itulah yang membuka lebih kesempatan buat penyanyi Gangnam Style itu mendekati artis antarabangsa.

Dia sendiri pun tidaklah popular mana di Korea Selatan sebelum ini berbanding apa dikecapinya sekarang.

Pernah dikhabarkan sudah menemui nama besar di Amerika Syarikat untuk bekerjasama, akhirnya tahun ini dia tampil berduet dengan penyanyi rap Snoop Dogg menerusi lagu Hangover.

Meskipun tidak meledak sebagaimana lagu Gangnam Style mahupun Gentleman, jumlah tontonannya di YouTube nyata mengagumkan. Mengekalkan video klip yang 'gila-gila', Hangover benar-benar mengangkat lagi Psy ke tahap baru.

-G-Dragon dan Missy Elliot-Niliria

Ketua kumpulan Big Bang ini tidak dinafikan masih kekal antara penyanyi K-Pop paling dikehendaki hingga sekarang.

Bukan saja gah bersama kumpulannya bahkan namanya sendiri memang disegani hingga ke Hollywood.

Bukan satu kejutan apabila dia bekerja keras menampilkan lagu terbaik dalam album terbarunya Coup d'Etat. Dilancarkan pada Ogos tahun lalu, lagu berkenaan terus menakluk pelbagai carta hebat termasuklah Gaon Singles Chart.

Turut menekankan unsur lagu rakyat Korea Selatan dalam melodinya, G-Dragon pada awalnya tidak terfikir mahu memasukkan sekali Missy Elliot menerusi lagu itu.

Bagaimanapun, seorang peminat kepada karya penyanyi rap tersohor itu membuatkan dia kemudian mengajaknya sekali menjayakan lagu terbabit.

-Wonder Girls dan Akon-Like Money

Kegemilangan Wonder Girls yang mendadak dengan lagu Nobody membuka mata peminat seluruh dunia terhadap karya berbisa mereka.

Pada ketika itu, di Amerika Syarikat sendiri memperkatakan mengenai fenomena kumpulan berkenaan.

Selain artis lain, kumpulan berkenaan juga berjaya menarik perhatian penyanyi terkenal Akon bekerjasama dengan mereka.

Menampilkan lagu berentak elektro-pop, paling menarik perhatian adalah muzik videonya yang menunjukkan sisi berbeza kumpulan itu menyarung persalinan bermotifkan metalik.

Seperti lagu mereka yang lain, melodi Like Money jelas berjaya menghidupkan lagu itu sehingga masih terngiang-ngiang selepas mendengarnya.

-JYJ dan Kanye West-Ayyy Girl

Kumpulan JYJ yang dianggotai tiga jejaka tampan pula beruntung dapat bekerjasama dengan penyanyi rap Kanye West.

Kanye sendiri bukan nama asing malah sudah merangkul banyak anugerah di acara paling berprestij Grammy Awards.

Menggabungkan elemen futuristik dalam lagu Ayyy Girl, nyanyian JYJ yang sememangnya mempunyai kemerduan tersendiri jelas bersatu dengan nyanyian rap suami kepada Kim Kardashian itu.

Lagu berkenaan dimuatkan dalam album sulung Inggeris mereka berjudul The Beginning yang dihasilkan empat tahun lalu.

-Will.I.Am dan 2NE1-Take The World On

Penyanyi, komposer, penerbit, pemuzik dan anggota kumpulan Black Eyed Peas, Will.I.Am memang terkenal dengan sikap memilihnya.

Dia sentiasa memastikan karya sentuhannya mahupun rakan duet mesti berpotensi menjadi hit.

Atas sebab itulah dia mengikat kolaborasi dengan kumpulan idol wanita berpengaruh 2NE1 yang sememangnya bukan artis K-Pop sembarangan. Dianggotai CL, Park Bom, Dara, dan Minzy , kumpulan itu menakluk dunia dengan persembahan bertenaga serta aura hebat mereka.

Turut bercadang untuk menghasilkan album penuh buat 2NE1, bagaimanapun setakat ini mereka baru berkolaborasi menerusi Take The World On.

Lagu berkenaan turut dijadikan lagu komersial untuk produk peranti popular Intel.

-Ailee dan Eric Benet-Almost Paradise

Diiktiraf antara penyanyi mempunyai vokal hebat bukan saja di Korea Selatan malah seluruh dunia, Ailee memang tiada tandingan. Cakaplah apa saja lagu antarabangsa nyanyian asal diva seperti Beyonce, Alicia Keys dan Adele, Ailee mampu membawanya dengan cukup baik.

Tidak ketinggalan, dia juga turut bekerjasama dengan penyanyi R & B terkenal Eric Benet menerusi lagu Almost Paradise.

Ternyata gabungan itu sangat menjadi apatah lagi masing-masing terkenal dengan nyanyian yang mampu meruntun jiwa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 November 2014 @ 5:02 AM