PENDUDUK bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar  kawasan kejiranan yang dilanda banjir kilat.
PENDUDUK bergotong-royong membersihkan kawasan sekitar kawasan kejiranan yang dilanda banjir kilat.

Cameron Highlands: Sebaik baik saja kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Ringlet dan Lembah Bertam di sini reda, tanpa menghiraukan nasib malang yang menimpa mereka, semua mangsa kejadian itu berganding bahu membersihkan sekitar kediaman mereka yang terjejas teruk akibat tragedi itu.

Ketua Komuniti Bestari 1Malaysia Ringlet, M Kerisknasamy, 40, berkata, semua penduduk yang ditimpa kejadian malang itu ditempatkan di Dewan Orang Ramai Ringlet dan mereka bagaikan satu keluarga apabila bergotong-royong tanpa menghiraukan perbezaan bangsa dan agama.

“Penduduk dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKK) Ringlet dan Kelab Rukun Tetangga (KRT) Ringlet, terus bertindak balas apabila bersama-sama membersihkan kawasan persekitaran kediaman yang dilanda banjir lumpur dan tanah runtuh ini.

“Memang kejadian ini membuatkan kita terlalu sedih, tetapi dengan semangat yang ditunjukkan, kami berganding bahu untuk bersama-sama menghadapi kesan daripada tragedi ini,” katanya.

Beliau berkata, selain JKK dan KRT, terdapat beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut bekerjasama memberi bantuan serta keperluan kepada penduduk di Ringlet terutama Jabatan Kesihatan, Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM)dan Komuniti Bestari 1Malaysia Ringlet.

“Setakat ini saya dimaklumkan, kerajaan mengambil inisiatif menempatkan penduduk di rumah kuarters kerajaan yang kekosongan dan sentiasa mengikuti perkembangan serta keperluan penduduk untuk diberi bantuan yang sepatutnya,” katanya.

Selain itu, katanya, dalam aspek keselamatan penduduk pula, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dibantu Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri memantau perkara berkenaan.

Dalam perkembangan sama, penduduk Kampung Baru Ringlet, Jamil Abdullah, 56, berkata, dia bersyukur kerana masalah yang dihadapi itu mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak.

Menurutnya, sebelum ini, dia sekeluarga sungguh sedih dengan kejadian itu, namun ia kian reda apabila melihat kerjasama yang sangat baik daripada semua pihak.

“Saya sangat terharu dengan kerjasama penduduk yang bergotong-royong menyediakan makanan serta membersihkan kawasan sekitar rumah yang terjejas akibat kejadian itu,” katanya.

Jamil berkata, kejadian itu membabitkan kali kedua yang memusnahkan kediamannya.

“Tahun lalu rumah kami di Lembah Bertam musnah, tahun ini di Kampung Baru Ringlet juga musnah.

“Namun, kami bersyukur kerana penduduk di sini tiada seorang pun yang kehilangan nyawa dan kami dikumpulkan semula di dewan ini ibarat seperti satu keluarga,” katanya.

Dalam kejadian itu, lima terkorban apabila empat daripadanya tertimbus dalam tanah runtuh, manakala seorang remaja berusia 13 tahun lemas dihanyutkan arus deras.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 November 2014 @ 5:10 AM