Arlyn (kanan) dan Eksekutif Pemasaran Hi-5 Siti Athirah Shahadat bersama produk roti Hi-5.
Arlyn (kanan) dan Eksekutif Pemasaran Hi-5 Siti Athirah Shahadat bersama produk roti Hi-5.
Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: High-5 Retails Sdn Bhd (Hi-5) komited mencapai jualan RM100 juta yang disandarkan kepada rancangan syarikat untuk membuka lebih 1,000 cawangan pada tahun depan.

Pengurus Komunikasi dan Jenamanya, Arlyn Aveline berkata, pihaknya percaya jumlah itu dapat dicapai menerusi kempen dan promosi yang dijalankan setiap tahun.

Katanya, setakat ini, Hi-5 menguasai 10 peratus pasaran roti di seluruh negara dan mempunyai lebih 30 jenis roti di pasaran dengan produk terbaru iaitu roti krim mentega dan gula, California Raisin dan Poco Gourment Popcorn.

“Jualan bulanan semasa Hi-5 adalah antara RM6 juta hingga RM7 juta dan ia meningkat 15 peratus berbanding tahun lalu dan kami yakin prestasi ini mampu dikekalkan,” katanya kepada Bisnes Metro di sini, baru-baru ini.

Menurutnya, syarikat melancarkan peraduan High5 Taste.Savour.Love sepanjang Ramadan lalu dan menyasarkan sumbangan sebanyak 30 peratus kepada jualan.

“Objektif utama peraduan ini adalah untuk mendekatkan pengguna dengan produk High5, selain memberi ganjaran menerusi hadiah yang ditawarkan kepada peserta,” katanya.

Arlyn berkata, peraduan High5 Taste.Savour.Love itu diadakan bermula 18 Jun hingga 3 Ogos ini dan ia terbuka kepada orang ramai di seluruh Semenanjung.

Beliau berkata, cara penyertaan peraduan terbabit mudah ialah hanya perlu menghantar dua bungkusan produk High5 dengan resit pembelian dan jawab tiga soalan mudah.

Orang ramai boleh memuat turun borang peraduan melalui Facebook (High 5 Bread) dan peserta berpeluang memenangi lebih RM15,000 hadiah yang ditawarkan.

“Kami memilih dua pemenang utama yang akan membawa pulang wang tunai RM5,000 masing-masing, lima pemenang seterusnya menerima wang tunai RM1,000 dan hamper untuk pemenang saguhati.

“Peraduan High5 Taste.Savour.Love akan dijadikan sebagai acara tahunan dan bagi memudahkan orang ramai menghantar borang penyertaan, kami turut menyediakan ‘Drop Box’ di empat lokasi utama iaitu di kafe High5, Pastry Ville Subang Parade, UOA KL, Plaza Damas dan e-Curve,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2015 @ 5:57 AM