Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pengumuman Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) yang akan terus memastikan bola sepak Johor maju, melegakan peminat bola sepak negeri itu yang agak resah hala tuju skuad Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas mengumumkan peletakan jawatan selaku Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ, Ahad lalu.

Tunku Ismail berkata, beliau tidak perlu memegang jawatan selaku Penaung atau Presiden PBNJ untuk pastikan bola sepak Johor maju dan akan memberi sokongan terhadap kemajuan sukan itu.

Beliau berjanji di hadapan penyokong Johor yang ada di stadium kelmarin akan sentiasa memartabatkan bola sepak negeri ini sambil menyifatkan sokongan padu penyokong turut memainkan peranan bagi meningkatkan lagi mutu bola sepak.

“Untuk makluman semua, baru-baru ini saya meletak jawatan selaku Presiden PBNJ namun ia tidak bermakna bola sepak Johor tidak akan maju.

“Saya tidak perlu menjadi presiden atau penaung untuk memajukan bola sepak Johor kerana saya mempunyai anda semua untuk memajukan bola sepak Johor.

“Saya berjanji di hadapan penyokong Johor yang ada di stadium pada malam ini (kelmarin) bahawa saya sentiasa berada di sini tidak kisah dalam bola sepak atau urusan negeri. Muafakat itu berkat, jangan lupa Allah peliharakan Sultan,” kata Tunku Ismail yang berucap selepas tamat aksi Johor DT dan Selangor di Stadium Larkin, kelmarin.

Tunku Iamail membuat keputusan drastik apabila melepaskan jawatan selaku Presiden PBNJ berkuatkuasa serta-merta tanpa memberi sebarang alasan sehingga mencetus misteri berhubunga peletakan jawatan itu.

Namun dengan penjelasan itu, ia melegakan peminat bola sepak Johor betapa kemajuan bola sepak terutama pembangunan bola sepak peringkat akar umbi akan terus dipertingkatkan.

Malah pengganti Tunku Ismail iaitu Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim akan meneruskan apa jua perancangan termasuk meningkatkan lagi kelengkapan, pengurusan kewangan, pentadbiran, pembentukan akademi dan stadium baru serta polisi persatuan akan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2015 @ 5:03 AM