TMJ ambil keputusan lepaskan jawatan presiden PBNJ.
TMJ ambil keputusan lepaskan jawatan presiden PBNJ.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim secara mengejut mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa, semalam.

Pengumuman rasmi itu dibuat Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Bin Yahya menerusi laman rasmi JOHOR Southern Tigers sambil mengesahkan Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim dilantik sebagai presiden baru.

“Saya selaku Setiausaha Kehormat PBNJ mengumumkan bahawa Tunku Ismail meletak jawatan sebagai presiden PBNJ pada pukul 5 petang tadi (semalam).

“Untuk makluman semua, Datuk Ismail (Karim), Setiausaha Kerajaan Johor dilantik memegang jawatan presiden.

“Walau bagaimanapun segala perancangan, pengurusan kewangan, pentadbiran, pembentukan akademi dan stadium baru serta polisi persatuan akan diteruskan.

“Malah, segala perancangan jangka masa panjang dalam sukan bola sepak Johor termasuk dari segi infrastruktur dan segala yang berkaitan akan tetap dilaksanakan,” kata Fahmy dalam kenyataan itu.

Tunku Ismail memegang jawatan selaku presiden PBNJ sejak Februari 2012 selepas dilantik pada Mesyuarat Luar Biasa (EGM) badan bola sepak negeri itu, namun pada 2013 Tunku Ismail bertindak meletak jawatan selepas digantung enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi menarik balik keputusannya selepas presiden FAM, Sultan Ahmad Shah ketika mengadakan pertemuan dengannya.

Beliau kekal memegang jawatan itu sehingga memutuskan melepaskan jawatan, semalam.

Dalam tempoh tiga tahun memegang jawatan presiden PBNJ, banyak pembaharuan dilakukan terutama menaik taraf Stadium Larkin sehingga mendapat pengiktirafan Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) sebagai antara stadium terbaik di Asia.

Malah, Tunku Ismail amat menitik berat pembangunan bola sepak peringkat remaja dan turut mengadakan kerjasama dengan kelab ternama Bundesliga, Borussia Dortmund sehingga kejayaan membawa pasukan utama kelab itu beraksi buat pertama kali di Stadium Larkin.

Sementara itu, presiden Kelab Penyokong Bola sepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Azman Jalil terkejut apabila mendapat berita pengumuman Tunku Ismail melepaskan jawatannya.

“Saya memang terkejut dengan keputusan Tunku Ismail... apa pun kami menghormati keputusan beliau dan berharap Tunku Ismail tetap meneruskan usaha meningkatkan bola sepak Johor dan merealisasikan impian untuk mewujudkan akademi bola sepak,” kata Azman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 4:57 AM