LOKASI penemuan bayi lelaki. FOTO Iqmal Haqim Rosman
LOKASI penemuan bayi lelaki. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan ditinggalkan di belakang pencawang stesen minyak di Ampangan 2, di sini, semalam.

Dalam penemuan kira-kira 12 tengah hari itu, pekerja warga Bangladesh mendengar tangisan bayi ketika dia sedang membersihkan tandas berhampiran pencawang itu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki terbabit cuba mencari bunyi tangisan itu sebelum terkejut melihat bayi lelaki ditinggalkan dalam keadaan bogel bersama uri yang dibungkus kain.

Menurutnya, lelaki terbabit kemudian memaklumkan penemuan itu kepada pengurus sebelum mereka menghubungi polis.

Katanya, bayi cukup sifat dan masih bertali pusat itu dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 4:29 PM