FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nadir Al-Nuri

Sekali lagi Malaysia diuji dengan gelombang Covid-19 dan sekali lagi penduduk terpaksa berkurung di rumah untuk memerangi wabak yang mengganas itu.

Walaupun kebebasan seolah-olah dicuri, ia bukan sebab untuk mengeluh panjang.

Saya teringat ketika mula-mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diputuskan tahun lalu, saya berkongsi sedikit berkaitan tahanan Palestin di dalam penjara Israel.

Bersempena kawalan terbaharu ini, mari kita menyambung cerita berkaitan mereka supaya dapat menimbulkan kesedaran dan kesyukuran apabila dibandingkan dengan saudara kita yang terkurung di balik jeriji besi musuh.

Di Israel, terdapat 32 penjara dengan 18 daripadanya digunakan untuk ditempatkan tahanan yang 'mengancam keselamatan negara' daripada kalangan penduduk Palestin.

'Tahanan sekuriti' yang menjadi gelaran untuk mereka bukanlah diletakkan secara sia-sia, ia digunakan oleh Israel kerana istilah itu tidak wujud di dalam Konvensyen Geneva justeru mereka tidak perlu tunduk kepada undang-undang yang digariskan sebagai hak untuk tahanan perang.

Statistik mutakhir menyebutkan ketika ini terdapat 4,400 tahanan Palestin di dalam penjara Israel dengan 170 daripadanya ialah kanak-kanak dan 40 daripadanya wanita termasuk 28 daripada mereka bergelar ibu.

Malah, 350 daripada mereka ditahan atas nama 'tahanan administratif' iaitu undang-undang yang diwujudkan pada zaman British dan masih digunakan pada hari ini untuk menangkap 'pengganas' tanpa perlu mengemukakan dakwaan atau tempoh tahanan.

Terdapat ramai tahanan Palestin yang telah mencipta rekod antaranya tahanan bernama Hasan Salamah yang diletakkan di dalam solitary confinement iaitu tahanan seorang diri selama 13 tahun sehingga beliau menceritakan terpaksa berkawan dengan semut dan dalam tempoh itu mula memahami makna isyarat semut yang digunakan untuk berkomunikasi!

Selepas Hasan pemegang rekod paling lama ditahan seorang diri ialah Ahmad Mughrabi. Kisah yang masyhur mengenai Ahmad ialah bagaimana dia pertama kali melihat anaknya dari dalam penjara ketika anaknya berumur enam bulan.

Ahmad kemudian ditahan di dalam tahanan seorang diri dan tidak dibenarkan dikunjungi pelawat selama 11 tahun.

Ketika dia melihat anaknya buat kali kedua, anaknya sudah berumur 12 tahun.

Tahanan di dalam penjara Israel juga dihukum dengan hukuman tidak logik.

Seramai 520 tahanan dihukum dengan hukuman penjara seumur hidup, di mana di Israel penjara seumur hidup bermakna 99,999,999 tahun di dalam penjara.

Dan 'pengganas' seperti Hasan Salamah yang melakukan operasi dan membunuh puluhan penjajah dikenakan hukuman 47 kali penjara seumur hidup bermakna 47 x 99,999,999 tahun. Adakah tahanan seperti mereka berputus asa? Tidak!

Di dalam penjara Israel tahanannya diberi peluang untuk meneruskan pelajaran dan ramai tahanan yang menghabiskan ijazah pertama dan sarjana di dalam penjara. Kisah tahanan menyeludup keluar sperma dari penjara untuk membolehkan isteri di luar mendapat anak juga kisah yang tidak asing.

Tahanan penjara mempunyai senjata yang sangat menggusarkan Israel iaitu mogok lapar. Ia ditakuti kerana kematian tahanan akibat lapar sangat buruk untuk imej Israel. Ketika menjalankan mogok lapar sama ada secara individu atau berkumpulan, tahanan hanya akan meminum air dan garam.

Secara saintifik manusia boleh hidup tanpa makanan selama dua bulan saja, tetapi pemegang rekod paling lama menjalankan mogok lapar ialah Samer Issawi yang tidak makan selama 270 hari.

Mogok lapar biasanya dilakukan 'tahanan administratif' untuk mendapatkan hak mereka sama ada diberikan dakwaan secara rasmi atau dibebaskan. Ia juga dilakukan untuk menuntut penambahbaikan keadaan di dalam penjara seperti mogok lapar yang dilakukan secara berkumpulan pada tahun 1988 untuk dipasang televisyen di dalam penjara. Setelah mogok selama 45 hari, Israel tunduk dan meletakkan televisyen di penjara tetapi jahatnya mereka televisyen dipasang tanpa diletakkan apa-apa siaran.'Penjara' yang kita rasai di rumah hanyalah ujian kecil. Selain tahanan di dalam penjara Israel, lebih dua juta penduduk Palestin di Gaza juga telah dihalang 'merentas daerah' sejak 2006. Selagi mana tahanan ini masih kukuh iman dan teguh pendirian serta tidak tunduk kepada musuh, maka malulah kita kalau dengan sekelumit cabaran yang sedang kita harungi sekarang kita sudah mula mengadu dan mengeluh.

Penulis adalah rakyat Malaysia tunggal menetap di Palestin. Beliau boleh dihubungi melalui WhatsApp +60135132140 untuk pertanyaan dan kerjasama. Salurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Covid-19 melalui akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia Maybank 564810507826

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:00 AM