Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Polis akan memberi tumpuan di 33 lokasi yang sering berlaku kemalangan di Selangor sepanjang Op Selamat ke -7 yang bermula esok sempena sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata, antara lokasi yang dikenal pasti adalah Kilometer 69 (Tali air dan Sekinchan) Jalan Klang-Teluk Intan;Kilometer 48 (Sungai Besar) Jalan Klang-Teluk Intan; sepanjang Jalan Kapar dan Meru, Jalan Subang dan Jalan Kuala Lumpur-Seremban.

Menurutnya, bagi mengawal lalu lintas terbabit hanya 10 peratus pegawai dan anggota diberikan cuti perayaan, manakala bakinya akan bekerja pada Aidilfitri ini.

"Kita akan menempatkan pegawai dan anggota di kawasan-kawasan yang kerap berlaku kemalangan bagi memantau sekaligus mengurangkan kadar kemalangan jalan raya kepada kadar yang minima. 

"Selain itu, polis juga akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan undang-undang jalan raya, advokasi dan pencegahan jenayah,"katanya selepas melancarkan Op Selamat ke-7 di sini, pagi tadi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2015 @ 1:20 PM