SEORANG pemandu wanita disaman kerana memotong barisan secara berbahaya di lampu isyarat Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
SEORANG pemandu wanita disaman kerana memotong barisan secara berbahaya di lampu isyarat Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, semalam. FOTO Ihsan PDRM
Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Sikap tidak sabar seorang pemandu wanita memotong barisan secara berbahaya di lampu isyarat Kilometer 46 Jalan Klang-Teluk Intan, di sini mengundang padah apabila disaman polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, terdahulu pihaknya mengesan satu video berdurasi 36 saat yang tular di laman Facebook memaparkan tindakan pemandu terbabit pada 5.30 petang kelmarin.

"Kejadian dipercayai berlaku di Kilometer 46, Jalan Klang-Teluk Intan arah ke Klang.

"Hasil maklumat diperolehi, tindakan mengesan pemandu dan kenderaan yang digunakan berjaya diambil," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Ramli berkata, wanita berusia 35 tahun kemudian tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor.

"Dia hadir bersama kereta Proton Saga pada 9 pagi semalam untuk tindakan lanjut.

"Tindakan saman dikeluarkan kepada pemandu kereta terbabit mengikut Kaedah 6(1) A LN166/59 iaitu memotong secara berbahaya," katanya.

Beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya bersabar dalam pemanduan dan bertimbang rasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 4:48 PM