EU (kiri) bersama  Pengerusi Eksekutif I Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (tengah)pada sidang media di Kuala Lumpur.
EU (kiri) bersama Pengerusi Eksekutif I Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong (tengah)pada sidang media di Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur: I-Berhad, pemaju induk hartanah Ultrapolis i-City kini berada di landasan betul untuk mencapai sasaran pendapatan tahunan sebanyak RM500 juta menjelang 2018, terutama daripada segmen pembangunan hartanahnya.

Timbalan Pengerusi I-Berhad, Datuk Eu Hong Chew berkata, pada 2014 sumbangan segmen pembangunan hartanah berjumlah RM201 juta berbanding RM95 juta pada tahun sebelumnya.

“Kami menjangka dapat mengekalkan pertumbuhan sebanyak dua angka tahun ini dengan sumbangan jualan segmen pembangunan hartanah pada separuh pertama tahun ini sebanyak 30 peratus lebih tinggi berbanding separuh pertama tahun lalu.

“Sebahagian besar jualan pada separuh pertama tahun ini adalah daripada projek i-City yang menunjukkan petanda baik bagi potensi pembangunan i-City,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan, di sini.

Menurutnya, pertumbuhan jualan itu adalah sebahagian daripada pelan perniagaan untuk menjadi kumpulan syarikat yang bernilai RM3 bilion.

Eu berkata, selain sumbangan pendapatan yang lebih besar daripada segmen pembangunan hartanah, pihaknya menjangkakan portfolio hartanah pelaburan I-Berhad juga akan mencapai RM1 bilion menjelang 2018.

“Sejajar dengan hala tuju pertumbuhan ini Kumpulan I-Berhad memperuntukkan pelaburan bernilai RM3 bilion bagi membangunkan siri produk berkaitan pelancongan di i-City.

“Pembangunan berkeluasan 28.8 hektar berstatus pegangan bebas itu terletak bersebelahan Lebuhraya Persekutuan, meliputi projek rekreasi, hospitaliti, perniagaan runcit, MICE serta pelancongan perubatan, menyasarkan untuk menarik lebih 30 juta pelawat setahun menjelang 2020,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 6:44 AM