Pengunjung melihat model bangunan 8Kia Peng@KLCC yang dibangunkan dengan kos RM1 bilion.
Pengunjung melihat model bangunan 8Kia Peng@KLCC yang dibangunkan dengan kos RM1 bilion.
Sofyan Rizal Ishak

Kuala Lumpur: I-Berhad, pemaju induk i-City menyifatkan pembangunan projek hartanah mewahnya iaitu 8Kia Peng adalah usaha membantu kerajaan dalam mempromosikan Kuala Lumpur sebagai bandar global.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Eu Hong Chew berkata, pertumbuhan syarikat sebagai syarikat senarai awam diinspirasikan melalui dua inisiatif Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) iaitu pelancongan dan Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang (Greater KL).

“Kami mahu membina kedudukan syarikat dalam industri yang aktif dipromosikan kerajaan berdasarkan rekod sebelum ini,” katanya pada sidang media sempena majlis pelancaran 8Kia Peng oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif I-Berhad, Tan Sri Lim Kim Hong. 8Kia Peng adalah projek pembangunan hartanah mewah yang terdiri daripada menara setinggi 50 tingkat di tanah dibina di atas tanah pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1 bilion.

Beliau berkata, pihaknya percaya apabila Kuala Lumpur menjadi bandar global maka lebih banyak permintaan kepada kediaman mewah terutama untuk pasaran antarabangsa.

“Keputusan kami membangunkan projek dikenali King of The Hill di tengah bandar raya Kuala Lumpur banyak dipengaruhi projek infrastruktur awam yang dijalankan kerajaan bagi membolehkan bandar ini menjadi antara 20 bandar paling selesa diduduki dan memiliki ekonomi yang kukuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, I-Berhad optimis projek 8Kia Peng akan mendapat sambutan positif pelabur luar dan tempatan meskipun dalam keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Pengarah i-City, Monica Ong berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan kepada lokasi, ciri-ciri yang ditawarkan dan kaedah pembangunan yang dilaksanakan bagi projek terbabit.

“Untuk projek ini, kami menyasarkan 70 peratus daripada pembeli adalah pelabur dari luar negara terutama dari Hong Kong, Taiwan, China dan Singapura,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 6:51 AM