LEBIH menggambarkan privasi.
LEBIH menggambarkan privasi.

Salam deko! Menjelang Aidilfitri ini, pelbagai tip dekorasi dikongsi menerusi ruangan ini bagi memantapkan cetusan dekorasi terbaik dan minggu ini saya ketengahkan mengenai pemilihan warna cat.

Sejak dulu, penggunaan warna cat bagi melatari seluruh ruang kediaman adalah perkara biasa. Jika sekadar mengecat tanpa memikirkan kelainan, suasana kediaman pasti membosankan.

Lakukan kombinasi warna cat supaya kediaman tampak lebih segar, ‘hidup’ dan menawan. Bagi pakar warna, pilihan warna tertentu mempunyai energi dan manfaat tersendiri yang dapat mempengaruhi suasana ruang.

Sebelum membuat sesuatu kombinasi warna cat, pastikan anda memahami ‘hukum-hukum’ gabungan warna supaya apabila warna itu disatukan, ia dapat bertoleransi antara satu sama lain dan tidak menolak kehadiran sesuatu warna.

Lazimnya untuk menghasilkan suasana mediterranian mungkin lebih sesuai memilih warna pastel seperti krim, coklat, putih, kelabu dan keemasan. Namun, tidak semestinya warna itu sesuai untuk digabungkan dengan konsep kontemporari.

Bagi kediaman gaya moden kontemporari atau minimalis, ia memiliki lebih banyak pilihan warna khususnya warna konsep pop sampai, gelap dan cerah.

Sekali pun anda memilih kombinasi warna cat kediaman untuk sentuhan minimalis, ia bukan tugas mudah kerana terdapat beberapa faktor lain perlu dipertimbangan. Kediaman dengan ukuran sederhana dan kecil disaran memilih atau menggabungkan warna cerah seperti putih pada dinding yang digabungkan dengan warna ceria lain.

Dalam membuat kombinasi warna, ada dua jenis kombinasi iaitu kombinasi selari dan tidak selari.

Kombinasi selari membabitkan warna seperti ungu dan biru atau biru laut dan biru cair manakala kombinasi tidak selari adalah gabungan merah dan biru atau hijau dan kuning. Merujuk carta roda warna sebelum membuat pilihan warna cat pula amat membantu untuk membuat pilihan warna yang tepat.

Selain itu, ada tiga jenis keluarga warna yang perlu anda fahami iaitu warna ‘primary’ iaitu semua warna kecuali warna putih berasal daripada warna ‘primary.’ Merah, biru dan hijau adalah warna utama ‘primary.’ Kombinasi warna itu menghasilkan warna ‘secondary.’

Warna ‘secondary’ pula adalah gabungan dua warna ‘primary.’ Contohnya kuning (gabungan merah dan hijau) dan violet (gabungan dari merah dan biru). Kemudian warna ‘tertiary’ pula adalah gabungan daripada satu warna ‘primary’ dengan jumlah yang lebih besar dengan warna ‘primary’ lainnya. Umpamanya gabungan daripada warna biru dengan dua merah untuk membentuk merah-violet. Ia penting sebagai panduan apabila memilih warna cat:

- Merah melambangkan tenaga, kekuatan, dan impian. Disebabkan itu, warna ini antara pilihan di ruang membaca, bilik belajar atau ruang permainan.

- Jingga adalah warna yang tidak ‘seagresif’ merah. Melambangkan kehangatan dan kegembiraan, namun masih sesuai untuk ruang membaca, bilik belajar atau ruang permainan.

- Kuning pula bergantung dengan seberapa banyak anda menggunakannya. Biasanya kuning melambang­kan kegembiraan, namun jika anda menggunakannya terlalu banyak ia boleh menghasilkan ‘mood’ terlalu ceria.

- Hijau memberikan ‘mood’ pembaruan dan pembangunan. Selain itu warna hijau antara warna yang banyak dikaitkan dengan alam serta ia antara warna terapi.

- Biru antara warna yang memberikan kesan ketenangan. Ia dapat memberikan kesan segar dan terang. Biru tua pula memberikan kesan lebih korporat.

- Violet ialah warna gabungan biru dan tenaga merah. Biasanya digunakan di bilik tidur dan melambang­kan suasana ketenangan dan redup.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 3:56 AM