HAMPIR keseluruhan rekaan jadi simbol keraian sambutan ulang tahun ke-40 jenama dari Jerman.
HAMPIR keseluruhan rekaan jadi simbol keraian sambutan ulang tahun ke-40 jenama dari Jerman.
Nor Faizah Mohamed


Warisan. Lazimnya sesuatu yang kuno, klasik, berusia dan lama. Namun warisan juga mampu tampil elegan, moden dan penuh estetikanya.

Kata orang, yang lama seharusnya dibuang jangan. Dan dalam ligatnya mengubah yang lama ke baru, pasti ada beberapa aspek atau elemen lampau yang perlu dikekalkan warisannya.

Bagi MCM, faktor lama dengan elemen baru tidak dijadikan saingan tetapi dipadan seiring agar saling melengkapi.

Menerusi kempennya musim ini, ‘Munich Epoque’, hampir keseluruhan rekaannya menjadi simbol keraian kepada sambutan ulang tahun ke-40 jenama dari Jerman itu.

Meletakkan warisan seni mewah di Munich, MCM meneroka musim ini dengan pertembungan antara glamor dan minimalis menerusi cetusan corak baroque yang ringkas namun tetap meriah.

Menampilkan perincian dan penggunaan material kulit berkualiti tinggi, kempen kali ini memaparkan variasi rekaan bersama palet warna berbeza.

Merah, emas, biru gelap dan kuning tanah menghasilkan palet warna menarik sementara kemilau perincian ringkas menyerlahkan kemewahan warisan budaya Jerman.

Sejak dulu jenama ini juga menitikberatkan penggunaan kulit untuk gaya yang lebih sofistikated, teguh dan tahan lama.

Pada masa sama, ada beberapa warna dan motif diilhamkan dari Istana Residenz di Munich lalu digabung dengan rekaan segar untuk hasil kontemporari.

Sulaman buatan tangan, kombinasi sutera juga baldu, tatahan kristal Swarovski dan titipan manik menyerlahkan kanvas keseluruhannya.

Siri Baroque

Himpunan Baroque Print ini menjadi interpretasi kepada tradisi artisan klasik Jerman. Beg ringan Kira Shopper dan beg sandang Stark Backpack dipenuhi lukisan baroque yang boleh didapati dalam pilihan warna merah delima, kuning Sahara dan biru Munich.

Siri Berlin

Inspirasi daripada koleksi warisan kembara MCM, himpunan dalam Siri Berlin ini memberi penghormatan kepada seni kontemporari Jerman yang dikemaskinikan dengan perincian rivet dan kancing.

Ringan dan elegan, nyata koleksi ini menonjolkan keseimbangan antara gaya sofistikated untuk kumpulan dewasa dan impak segar untuk si muda.

Rona merah delima yang hangat dalam musim ini turut diperkenalkan pada beberapa rekaan menarik.

Patricia

Beg sandang penuh chic yang kembali dalam arkib rekaan MCM. Gayanya kini lebih segar, moden dan menepati zaman.

Apa yang menjadi tarikan ialah ruang penyimpanan yang besar dan ringan apabila disangkutkan ke bahu.

Himpunan ini tidak ketinggalan hadir dengan tali yang boleh dilaras, selain kunci automatik pada logam rodium.

Milla Gepard

Kombinasi glamor dan fungsi lalu mencetuskan koleksi yang menjadi tarikan fesyenista dunia.

Bulu anak lembu, corak harimau bintang dan rantai kunci musang menambah aura mewah pada beg tangan klasik ini.

Mitte Brocade

Baroque, stud, baldu, kulit dan sulaman semuanya dalam satu. Elegan dan mewah, juga kontemporari. Beg tangan Mitta Velvet Insignia ini turut diangkat sebagai salah satu warisan artisan klasik Jerman dengan menyertakan sulaman ikonik singa MCM bersama perincian mutiara.

Milla Primary

Inspirasi daripada warna ceria Bauhaus, koleksi Milla Primary ini menawarkan beg tote dalam variasi warna polos seperti biru, merah, kuning dan hijau.

Kulit berkualiti tinggi dari Itali digunakan sepenuhnya pada rekaan ini yang sesuai untuk kegunaan harian wanita moden.

Stark Leather Insignia

Tidak lengkap menceritakan mengenai MCM jika tidak dikaitkan dengan himpunan beg sandang ikoniknya.

Beg Stark Leather Insignia ini mempersembahkan rekaan klasik beg sandang MCM namun disertakan perincian lebih chic.

Duke Nappa

Beg sandang ringkas ini lebih ergonomik dengan rekaan tali yang lebih selesa. Kapasiti penyimpanan yang luas juga membuatkan Duke Nappa sering jadi pilihan si pengembara urban.

Luxus

Moden dan elegan. Lazimnya jadi pilihan lelaki berkerjaya yang mahukan kemudahan serta keselesaan dalam menyimpan barang keperluannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Ogos 2016 @ 5:01 AM