Presiden Joko Widodo (kanan) dan Ahok. - Foto Fail/Agensi
Presiden Joko Widodo (kanan) dan Ahok. - Foto Fail/Agensi
BERNAMA

Jakarta: Presiden Joko Widodo hari ini menegaskan beliau tidak akan melindungi Basuki Tjahaja Purnama atau Ahok dan mahu siasatan terhadap Gabenor Jakarta itu dilakukan secara tegas dan terbuka.

"Saya tidak akan melindungi saudara Basuki Tjahaja Purnama kerana sudah masuk pada proses hukum," katanya dipetik media Indonesia selepas mengadakan perjumpaan dengan Pejabat Pusat Dakwah Muhammadiyah di sini, hari ini.

Presiden Republik Indonesia itu yang lebih dikenali sebagai Jokowi berkata, beliau mengarahkan Ketua Polis Negara Tito Karnavian melakukan siasatan secara terbuka agar tidak timbul sebarang prasangka dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, siasatan terhadap Ahok sudah bermula dan semua pihak harus memberi kepercayaan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Ahok akan bertanding atas tiket parti PDI-P bagi mempertahan jawatan Gabenor Jakarta pada pilihan raya ketua daerah (Pilkada) Februari tahun depan.

Hubungan Jokowi, yang juga anggota parti pimpinan Megawati Soekarno Putri, dengan Ahok dikatakan sangat akrab. Ketika Jokowi menyandang jawatan Gabenor Jakarta, Ahok adalah naib gabenor.

Ahok satu-satunya calon bukan Islam dan beliau dicabar dua calon lain iaitu Anies Baswedan dan Agus Harimurti Yudhoyono dalam perebutan jawatan Gabenor itu.

Ketika kempennya di Pulau Seribu bulan lalu, Ahok meminta umat Islam tidak terpedaya dengan pihak menggunakan Surah Al Maidah yang mengingatkan umat Islam supaya tidak memilih orang bukan Islam sebagai pemimpin mereka.

Bagaimanapun, beliau menafikannya dan mendakwa difitnah dengan menyatakan rakaman video ucapannya diubah suai dan dipotong bagi menimbulkan kontroversi.

Jumaat lalu, lebih 100,00 orang menyertai perhimpunan mendesak Ahok ditangkap dan dibicarakan kerana didakwa menghina al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:03 PM