HUBUNGAN sesama anggota dianggap sebagai keluarga sendiri.
HUBUNGAN sesama anggota dianggap sebagai keluarga sendiri.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Kehidupan mereka tampak serba mewah dan penuh glamor. Namun hakikatnya anggota kumpulan Wings iaitu Ahmad Azhar Othman atau Awie, Abdul Zamin Abdul Kadir (Joe), Samsaidi Ulong Idris (Eddie) dan Azmi Hashim (Black) pernah melalui zaman getir ketika mula mencipta nama.

Itu cerita 30 tahun lalu, kini mereka mampu berbangga apabila berjaya mengukuhkan nama Wings buka saja di arena seni tanah air tetapi juga di negara jiran, Singapura.

Wings sudah menghasilkan 16 album studio dan 10 album ‘live’ serta kompilasi yang mencatat penjualan membanggakan. Band unggul ini turut meraih pelbagai pengiktirafan termasuk dijulang menerusi Anugerah Juara Lagu dan Anugerah Planet Muzik di Singapura.

Selain itu, Wings turut berjaya menggegarkan pentas berprestij Istana Budaya dengan siri konsert mega Opera Hidup Wings & Superfriends pada 2011, Wings Rockestra pada 2013 dan Konsert Bongkar Takkan Melayu Hilang Di Dunia pada Jun lalu.

Mensyukuri nikmat yang dikecapi, Wings mengadakan majlis berbuka puasa bagi meraikan media, individu serta penaja yang menyokong kerjaya mereka serta anak-anak yatim.

Awie ketika ditemui berkata, sepanjang tiga dekad memperjuangkan muzik mereka, Wings tidak pernah berpecah sebaliknya hanya bertukar anggota.

“Perjalanan kami dulu tidak selancar sekarang. Kami jadi tumpuan sehinggakan setiap perkara yang dibuat nampak jahat.

“Buat baik pun dipandang jahat, kalau buat jahat lagilah. Orang tak nampak kehidupan kami yang pernah tinggal di bawah kolong, pernah dihalau dari rumah sewa dan banyak lagi onak duri yang terpaksa ditempuh.

“Kalau dibukukan memang banyak dan tak terkira tebalnya,” katanya.

Tambah Awie, sempena sambutan 30 tahun Wings, mereka akan mengadakan konsert istimewa di Stadium Merdeka pada 30 Oktober depan.

“Insya-Allah kami akan kongsi suka duka kembara seni Wings dalam konsert ini. Persembahan kami nanti berbeza daripada yang pernah ditampilkan sebelum ini,” katanya.

Mengulas lanjut perjalanan seni mereka, Joe mendedahkan matlamat asalnya bermain muzik adalah untuk mencari makan dan tidak pernah terfikir bertahan selama tiga dekad.

“Saya main muzik untuk mengisi perut hari ini. Untuk makan esoknya, saya fikir kemudian. Kami main muzik di kelab dan ada ketikanya kami menggantikan tempat orang lain.

“Apabila berada di tahap ini, kami kena fikirkan apa lagi yang boleh dibuat. Nampak macam kerap buat konsert, tetapi sebenarnya kami hanya menjayakan empat konsert besar dalam tempoh beberapa tahun. Berbeza dengan dulu, kami menjayakan 24 persembahan sebulan.

“Ketika itu, kami mandi di stesen minyak dan tukar baju dalam kereta. Bahkan kami pernah terserempak gajah di tengah jalan di Gerik.

“Sekarang rasa malu pula apabila dengar band Indonesia menjayakan lebih 280 konsert setahun,” katanya.

Eddie pula mengakui semangat ‘adik-beradik’ dalam Wings sangat kuat dan ia antara faktor utama mengapa dapat bertahan hingga hari ini.

“Tanpa mereka siapa saya. Kami pernah susah sama-sama dan saya selalu bertindak sebagai pendamai dalam Wings.

“Pernah sekali lepas main di kelab kami lapar. Kami ketuk pintu rumah arwah mak saya dan beritahu kami lapar. Tanpa banyak soal, mak masakkan nasi untuk kami makan.

“Semangat kekeluargaan kami sangat kuat, mengatasi darah daging sendiri. Sebab itu saya sayangkan mereka. Kami faham perangai masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Black menyifatkan kejayaan yang diraih Wings berkat restu keluarga.

“Pada 1985 kami bermain muzik di kelab. Hidup memang susah. Apabila lapar nasi, kami ke rumah Eddie minta emaknya masak nasi.

“Keluarga kami tak pernah mengeluh dengan apa yang kami buat. Kami mampu bertahan selama 30 tahun kerana restu keluarga.

“Hubungan keluarga kami juga sangat rapat bahkan saya boleh tidur atas riba emak Eddie,” katanya sebak.

Awie pula berkata, paling tidak dapat dilupakan pengalaman mereka berkongsi makanan kerana tidak mempunyai wang.

“Kami berkongsi makan maggi. Pernah makan nasi dengan sambal tanpa ikan. Kalau ada sardin itu sudah cukup bagus.

“Ketika main muzik di kelab, kami hanya dibayar RM30 dan kena kongsi.

“Paling menyedihkan kami tak mampu bayar sewa kolong selama lima bulan dan dihalau keluar. Ini sebahagian sejarah Wings dan tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Julai 2015 @ 12:13 PM