ELFIRA enggan layan gosip cintanya dengan aktor popular Indonesia, Baim Wong.
ELFIRA enggan layan gosip cintanya dengan aktor popular Indonesia, Baim Wong.

"Saya tidak suka melatah dengan cerita sebegini. Bagi saya lebih baik memberi tumpuan kepada cerita membabitkan karier seni," katanya ketika ditanya mengenai gosipnya dengan Baim Wong.

Menurut Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 20, hubungan mesra terjalin itu atas dasar persahabatan.

"Saya lebih selesa untuk tidak berbicara lanjut mengenai perkara itu," katanya.

Elfira kini sibuk sebagai pengacara program Mad Markest di TV9.

"Program dikendalikan ini adalah musim ketiga dan saya amat seronok. Ini kerana, saya boleh melancong dengan bajet sederhana dan berpatutan.

"Sejak menjayakan program berkonsep travelog ini banyak pengalaman menarik yang saya timba ketika melancong terutama dalam pengurusan kewangan," katanya.

Elfira yang baru pulang dari Manchester, England kerana menjalani penggambaran drama adaptasi novel Setulus Janji bersama Rafidah Ibrahim dan Azlee Khairi berkata, dia melakonkan watak pembantu saja.

Katanya, dia melakonkan watak Imalina iaitu rakan baik Insyirah (Rafidah) yang belajar bersama di Manchester. Keseluruhan lakonannya dalam drama itu membabitkan penggambaran di luar negara saja.

"Selama dua minggu berada di Manchester saya sangat seronok. Mungkin memang sudah menjadi minat saya yang suka melancong membuatkan saya amat selesa.

"Apapun, dalam karier lakonan saya tidak terlalu memilih watak. Asalkan saya selesa dan mampu melakonkannya dengan baik, saya terima," kata­nya.

Elfira yang akan muncul dengan filem sulungnya, Rentap pada 4 Disember ini di pawagam tanah air, bagaimanapun mengakui dia kini lebih memberi tumpuan untuk menyiapkan penggambaran program Mad Markets.

"Saya harus menyelesaikan 10 episod untuk program Mad Markets itu. Secara tidak langsung, jadual saya juga lebih tertumpu untuk kembara ke luar negara.

"Antara negara yang akan saja jelajahi untuk menyiapkan penggambaran itu seperti Taiwan, Australia, Jepun, Thailand dan Azerbaijan.

"Terus-terang, saya akui amat teruja untuk terbabit dalam penggambaran program Mad Markets ini kerana ia memberi peluang kepada saya lebih berdikari," katanya.

Menurut Elfira lagi, apa yang menariknya me­ngendalikan program Mad Markets itu kerana dia perlu menyahut cabaran berbelanja de­ngan bajet rendah.

Ujar­nya sebagai contoh de­ngan wang RM50, Elfira perlu ber­usaha meng­gunakannya se­baik mungkin untuk bersiar-siar serta membeli pakaian dan kasut.

Mengenai wataknya dalam filem, Elfira berkata dia melakonkan karakter Elina, seorang wartawan muda yang optimis dan sukakan cabaran seperti mendedahkan sukan 'parkour' kepada masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 November 2014 @ 5:00 AM