HIASAN kayu dalam bentuk moden.
HIASAN kayu dalam bentuk moden.
HIASAN kayu dengan potongan kemas.
HIASAN kayu dengan potongan kemas.
UKIRAN hiasan dinding menggunakan kayu jati supaya tahan lasak.
UKIRAN hiasan dinding menggunakan kayu jati supaya tahan lasak.
CENDERAHATI tempahan khas untuk hadiah perkahwinan.
CENDERAHATI tempahan khas untuk hadiah perkahwinan.
ANTARA mesin yang digunakan untuk memotong kayu.
ANTARA mesin yang digunakan untuk memotong kayu.
ZAHARUDIN menunjukkan cenderahati korporat yang beliau hasilkan.
ZAHARUDIN menunjukkan cenderahati korporat yang beliau hasilkan.
Oleh Hartini Mohd Nawi dan Nor Hanisah Kamaruzaman

Studionya eksklusif dalam persekitaran pejabat yang sedikit pun tidak menampakkan ia sebenarnya lokasi sibuk menghasilkan dekoratif seni kayu.

Satu persatu karya atau produk yang dihasilkan menjadi tatapan hingga terdetik betapa kreatifnya pengusaha ini.

Daripada sekecil-kecil motif hingga rekaan atau ukiran saiz besar, semuanya menonjolkan ketelitian kerja yang sarat idea seni.

Ruang menunggu pula diserikan dengan pelbagai dekoratif menarik yang secara tidak langsung membuahkan idea buat tetamu.

Jika tidak dibawa melihat sendiri mesin laser berteknologi tinggi di ruang khas studio itu, sudah tentu kami beranggapan kerja pertukangan dilakukan di tempat lain.

Ia sempena kunjungan Media anjuran Kraftangan Malaysia, baru-baru ini.

Berbekalkan kepakaran tenaga kerja dan mesin canggih itulah setiap produk dizahirkan dengan identiti eksklusif.

Bagi Zaharudin Othman, 44, setiap dekoratif memerlukan tumpuan sepenuhnya daripada proses menerima tempahan pelanggan hingga siap sepenuhnya.

“Tidak juga bermakna kami bergantung 100 peratus kepada mesin laser ini.

“Sebaik menceburi bidang ini, inovasi kayu dapat dilihat transisinya dan ia secara tidak langsung membantu saya dan pekerja menghasilkan produk terbaik serta membanggakan,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Percaya bahawa cabaran getir yang dilaluinya selama ini antara pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh lantas bergelar pakar seni kayu, Zaharudin tidak menafikan semuanya perlu bermula dengan minat dan pengetahuan mendalam.

“Kini saya menerima tempahan pelanggan membabitkan pelbagai golongan daripada perseorangan hingga korporat.

“Idea unik menghasilkan produk dekoratif turut datang daripada peminat maya dan kunjungan ke studio ini.

“Apabila anda menyukai atau inginkan sesuatu produk itu dihasilkan, ia tentunya mampu dizahirkannya,” katanya yang teruja berkongsi pahit getir pengalamannya selama menceburkan diri dalam bidang itu pada awal tahun 2000.

Berkat kesungguhannya, pada 2014 beliau terbabit secara serius dengan kerja hiasan dalaman termasuk mempunyai mesin laser sendiri.

Mengakui cita rasa ma­syarakat negara ini berbeza-beza hingga membantu Pengarah Urusan Vertical Impact itu mempelbagaikan dekoratif seni kayunya.

“Daripada produk kayu biasa, ia diukir menarik hingga menjadi cenderahati korporat atau perseorangan yang sungguh eksklusif.

“Malah rekaan yang diinginkan cuba diterjemahkan sebaik mungkin.

“Ia pelbagai sama ada dekoratif kayu yang diselitkan ukiran kaligrafi, corak flora atau abstrak bergantung kepada permintaan,” katanya.

Sempat juga beliau berkongsi beberapa langkah atau proses penting untuk penghasilan cenderahati kayu berukiran.

“Langkah pertama gerak kerja dilakukan termasuk rekaan dan susun atur kreatif, semuanya membabitkan penggunaan komputer.

“Kayu sesuai seperti papan lapis dipilih dan permukaan perlu dipastikan rata bagi memudahkan kerja termasuk pemotongan hingga terhasilnya ukiran diinginkan.

“Proses dekoratif berasaskan kayu ini menggunakan mesin laser untuk lebih mempercepatkan penghasilan dan menjimatkan hanya masa.

“Dalam tempoh lapan jam umpamanya, mesin ini berjaya menghasilkan 150 keping dekoratif kayu,” katanya.

Selain kayu, hasil dekoratif daripada medium lain dengan identiti tersendiri juga dihasilkan.

“Sekurang-kurangnya ia memberi pilihan kepada anda,” katanya.

Justeru, lapangkan waktu untuk mengunjungi Vertical Impact di No 29-2, Jalan 46/26, Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur.

Layari www.vertical­impact.com.my, Facebook 3D kufi+wall deco atau Instagram @exowoodcreative untuk sebarang keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2016 @ 8:22 AM