Reuters

London: Liga Perdana Inggeris terus meninggalkan pesaingnya di Eropah dari segi hasil pendapatan keseluruhan, biarpun kualiti sama tidak ditunjukkan pemain di padang.

Kelab Inggeris menjadi mangsa Barcelona, Bayern Munich dan Paris St Germain pada Liga Juara-Juara musim ini malah tiada satu pun di antara kelab ini mara ke suku akhir, namun tetap dicemburui kelab lain di benua itu berdasarkan saiz akaun mereka.

Menurut Kajian Tahunan Kewangan Bola Sepak Deloitte, berdasarkan musim 2013-14, 20 kelab Liga Perdana Inggeris menjana hasil £3.26 bilion (RM18.5 bilion), meningkat 29 peratus berbanding musim sebelumnya.

Ia C1.4 bilion (RM7.9 bilion) lebih tinggi berbanding Bundesliga Jerman yang menduduki tangga kedua senarai dan lebih tinggi berbanding La Liga Sepanyol dan Serie A Itali jika digabungkan.

Malah kelebihan dimiliki Bundesliga dari segi hasil komersil juga semakin menyusut.

Kontrak televisyen antara Liga Perdana dengan Sky dan BT Sport, yang bermula pada musim 2013-14 menyumbang 78 peratus peningkatan daripada hasil keseluruhan.

Dengan kontrak baru selama tiga tahun bernilai £5.136 bilion (RM29.2 bilion) bermula musim 2016-17, peningkatan 70 peratus berbanding sedia ada, Liga Perdana Inggeris akan terus berada di atas untuk beberapa tahun akan datang.

“Kesan kontrak penyiaran Liga Perdana Inggeris begitu ketara,” kata rakan sekutu Kumpulan Perniagaan Sukan Deloitte, Dan Jones.

“Pada 2013/14 kelab yang menerima paling sedikit edaran penyiaran liga tempatan menerima lebih banyak berbanding lima kelab Eropah lain.”

“Di peringkat benua, amat sukar untuk melihat mana-mana lima liga utama Eropah mampu merapatkan jurang dengan mereka, apatah lagi memberi saingan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Jun 2015 @ 7:36 AM