ZAMREE (kanan) bersama staf yang bertugas di makmal HTC, FRIM.
ZAMREE (kanan) bersama staf yang bertugas di makmal HTC, FRIM.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Pasaran industri herba bernilai RM10 bilion setahun dengan peningkatan 10 hingga 15 peratus setiap tahun menjadi antara fokus penting kerajaan dalam usaha membangunkan sosioekonomi masyarakat.

Justeru, pelbagai pendekatan sesuai diambil bagi pembangunan industri herba negara supaya selaras dengan permintaan pasaran.

Berteraskan konsep ilmu pengetahuan sebagai pemaju kepada pembangunan ekonomi negara secara lestari, satu pusat untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk produk herba berkualiti dibangunkan di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

Pusat Teknologi Herba atau HTC yang ditubuhkan pada 2007 itu menjalankan aktiviti R&D terhadap tumbuhan herba selain bertindak sebagai pusat rujukan kepada pengusaha industri herba.

Ketua Pusat HTC, Zamree Md Shah berkata, pendekatan saintifik menjadi latar belakang kepada semua aktiviti HTC bermula daripada penerimaan bahan mentah berkualiti tinggi.

“Bahan mentah berkualiti tinggi itu kemudian melalui proses seterusnya iaitu menghasilkan ekstrak tumbuhan mengikut piawaian yang memenuhi keperluan dan pematuhan tahap kualiti keselamatan dan keberkesanannya.

“Penghasilan produk siap herba sama ada berbentuk kapsul atau tablet dan sebagainya, proses penghasilan produk herba di HTC mematuhi piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Katanya, pengiktirafan GMP turut membantu HTC menghasilkan teknologi kajian yang berkualiti dan berpotensi untuk dikomersialkan.

Zamree berkata, pihak industri turut mendapat manfaat secara langsung daripada teknologi dan R&D ditawarkan HTC sama ada berbentuk kerjasama penyelidikan, pelesenan teknologi atau khidmat nasihat pemprosesan.

Selain membangunkan protaip produk herba, HTC menyediakan perkhidmatan pemprosesan teknikal yang boleh digunakan pengusaha seperti pemprosesan bahan mentah, penghasilan ekstrak, pembangunan dan penghasilan produk siap serta aktiviti jaminan dan kawalan kualiti.

“Sebanyak 197 pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan sejak 2011.

“Bermula tahun 2012, perkhidmatan pemprosesan teknikal ini dikembangkan kepada perkhidmatan pengilang kontrak (OEM) apabila berjaya memperoleh lesen pengilang daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Perkhidmatan itu membantu pengusaha menghasilkan produk herba tradisional berdaftar. Kini, sebanyak 20 syarikat menandatangani surat perjanjian pelantikan HTC sebagai pengilang kontrak bagi mengeluarkan produk tradisional berdaftar manakala 11 produk berjaya mendapat kelulusan pendaftaran KKM.

“Lapan lagi produk sedang dalam proses pendaftaran dan empat produk akan didaftarkan atas permintaan pelanggan,” katanya.

Selain aktiviti R&D

dan perkhidmatan teknikal, usaha membangunkan industri berkenaan diteruskan dengan penganjuran aktiviti pemindahan teknologi melalui latihan teknikal sama ada berbentuk teori atau praktikal.

“Aktiviti ini berupaya mendedahkan pengusaha dengan aspek penting dan teknologi berkaitan industri herba seiring dengan pembangunan modal insan.

“Penganjuran seminar, bengkel, dialog dan sebagainya turut dijalankan bagi mendedahkan kepada pengusaha prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi dalam merealisaikan perniagaan mereka.

“HTC turut bertindak sebagai platform menghubungkan pengusaha dengan agensi berkaitan seperti pihak berkuasa, penyumbang dana, pembangunan pasaran serta agensi yang terbabit secara langsung dalam industri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 4:46 AM