Tokyo: Jumlah dagangan Malaysia dengan Jepun iaitu rakan dagang ketiga terbesar Malaysia meningkat 1.4 peratus pada 2014 mencecah RM137.45 bilion (AS$42 bilion).

Duta Besar Malaysia di Jepun Datuk Ahmad Izlan Idris berkata, Malaysia mencatatkan eksport sebanyak RM82.71 bilion (AS$25.26 bilion), peningkatan sebanyak 4.4 peratus manakala import dari Jepun susut 2.9 peratus kepada RM54.75 bilion (AS$16.74 bilion).

“Jepun adalah rakan dagang terpenting selepas China dan Singapura dan negara-negara ini terus menjadi rakan dagang utama kita,” katanya yang mengulas mengenai lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Jepun.

Ahmad Izlan berkata, antara eksport utama ialah gas asli cecair (LNG), barangan elektrik dan elektronik serta produk berasaskan kimia manakala import terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, komponen jentera, alatan dan aksesori kenderaan.

Beliau berkata, Jepun juga antara pelabur utama di Malaysia dengan 2,510 projek bernilai AS$22.7 bilion dilaksanakan oleh syarikat-syarikat negara itu sehingga 31 Disember 2013 dan mewujudkan 332,352 pekerjaan.

Bagi tempoh Januari hingga September tahun lalu, sebanyak 47 projek dijalankan oleh firma Jepun dengan pelaburan sebanyak RM10.65 bilion (AS$3.26 bilion) diluluskan dan dijangka mewujudkan 6,874 peluang pekerjaan.

Katanya, pada masa ini terdapat kira-kira 1,400 firma Jepun beroperasi di Malaysia dan antara sektor berpotensi ialah industri teknologi hijau, industri teknologi tinggi, bioteknologi, elektronik maju dan automotif.

Ketibaan pelancong Jepun ke Malaysia juga menyaksikan peningkatan, mencecah 553,106 tahun lalu, naik 7.8 peratus berbanding tahun sebelumnya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 10:49 AM