CHONG (kiri) pada aksi Sukan SEA Myanmar.
CHONG (kiri) pada aksi Sukan SEA Myanmar.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad taekwondo ke temasya Sukan SEA Singapura kali ini mempunyai misi tersendiri iaitu cuba menamatkan kemarau emas acara itu selepas kali terakhir melakukannya pada 2009.

Sejak itu atlet taekwondo yang terpalit dengan pelbagai kontroversi membabitkan persatuan sukan itu gagal menamatkan kemarau emas biarpun beberapa atlet mara ke perlawanan akhir.

Dua tahun lalu, Ryan Chong hampir merealisasikan impian skuad taekwondo namun terpaksa berpuas hati apabila sekadar meraih perak pada penyertaan terakhirnya di temasya dwi tahunan itu.

Namun kini skuad yang dibarisi 10 atlet mengharapkan tendangan ajaib untuk merealisasikan impian emas biarpun ia tampak sukar ketika kedudukan skuad negara kini berada di ranking keempat di belakang negara Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Pengurus pasukan Anuar Idris berkata, peluang berlatih di Korea tempat melahirkan ramai jagoan dunia diharap dapat membantu skuad negara melakar kejutan di Singapura.

“Seramai enam atlet dalam acara gyeorugi (tempur) kini berada di Korea untuk menjalani latihan sejak 8 Mei lalu. Korea dipilih menjadi lokasi latihan untuk memberi pendedahan kepada atlet negara mendalami teknik, taktikal dan sebagainya kerana mereka berpeluang berlatih bersama ramai atlet di sana.

“Selain itu beberapa negara Asia Tenggara yang lain turut berkampung di Korea sebagai persiapan terakhir sebelum Sukan SEA bermula,” katanya.

Mengulas mengenai sasaran pingat, Idris berkata, sukar untuk meletakkan sasaran emas kerana saingan dalam taekwondo sangat sengit namun itu tidak bermakna peluang skuad negara meraih emas selepas kali terakhir pada 2009 menerusi Che Chew Chan tidak dapat diulang.

Harapan diletakkan kepada atlet yang beraksi dalam acara poomsae menerusi Yong Jin Kun, Kok Jun Ee, Chew Wei Yan, dan Yap Khim Wen selain beberapa lagi atlet seperti P Thinagaran Naidu dalam acara bawah 68 kg dan T Shakila Dharshini bawah -46kg.

Katanya, bantuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang menyediakan bantuan seperti psikologi, pakar pemakanan, latihan mental sedikit sebanyak dapat meningkat tahap keyakinan atlet negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mei 2015 @ 5:10 AM