Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Skuad equestrian berada pada tahap terbaik dan bersedia memburu dua emas dalam acara berpasukan yang menjadi sasaran utama apabila saingan Sukan SEA Singapura bermula.

Pengurus pasukan Nor Fauzi Ismawi berkata, sasaran emas diletakkan dalam acara dressarge dan show jumping membabitkan empat atlet lelaki dan wanita.

Katanya, semua atlet berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia merealisasikan sasaran itu.

“Mereka kini fokus membuat persiapan terakhir dan berdasarkan latihan serta siri pertandingan dijalankan, mereka mampu menyumbangkan emas.

“Atlet berlatih di Uniten (Universiti Tenaga Nasional) iaitu lokasi kuda dikuarantin dua minggu sebelum ke Singapura. Setiap kuda yang akan menyertai pertandingan perlu kuarantin selama dua minggu bukan hanya ke Sukan SEA saja,” katanya.

Fauzi berkata, barisan atlet negara yang terpilih untuk beraksi pada temasya dwi tahunan itu yang terbaik selepas melalui beberapa siri pemilihan.

Justeru beliau yakin keupayaan atlet dan menasihatkan agar setiap atlet lebih tenang serta beraksi tanpa sebarang tekanan.

Antara atlet yang akan beraksi terdiri daripada Natasha Ines Wah Idris, R Sharmini, Natalya Aira Idris, Quek Sue Yian manakala atlet lelaki Ahmad Imtaz Amir Hamzah, Mohd Izry Razli, Mohammad Nabil Fikri Ismail dan Muhammad Shaiful Azwan Mohamad Din.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 11:22 AM