HASIL bumi di Pulau Jeju digunakan secara meluas dalam setiap rangkaian produk Innisfree.
HASIL bumi di Pulau Jeju digunakan secara meluas dalam setiap rangkaian produk Innisfree.
ANTARA produk istimewa yang hanya boleh didapati di Jeju House.
ANTARA produk istimewa yang hanya boleh didapati di Jeju House.
LADANG bunga canola yang mekar harum sepanjang musim panas.
LADANG bunga canola yang mekar harum sepanjang musim panas.
BENGKEL mini di Jeju House beri peluang kepada pengunjung hasilkan sabun organik sendiri.
BENGKEL mini di Jeju House beri peluang kepada pengunjung hasilkan sabun organik sendiri.
Oleh Nor Faizah Mohamed

(Yang menyertai Jelajah Hijau Innisfree 2015 di Seoul dan Pulau Jeju, Korea Selatan, bulan lalu)

Bunga mawar dari Perancis, peony dari Amerika Syarikat dan minyak badam dari Afrika, juga teh hijau yang datangnya dari negara Asia.

Sama ada dijadikan sebagai bahan asas atau kombinasi bagi menghasilkan satu produk menarik, ramuan dari pelbagai negara itu bukanlah perkara luar biasa dalam dunia kecantikan.

Bagai irama dan lagu, kombinasi bahan terbaik datangnya dari setiap ceruk dunia menjadi pilihan kebanyakan jenama besar.

Rasionalnya bagi kebanyakan jenama terbabit, tiada satu negara, daerah, kawasan atau lokasi yang mampu memberikan bahan asas kecantikan yang berkesan tanpa disertakan beberapa ramuan dari kawasan lain.

Namun bagi Innisfree, Pulau Jeju satu-satunya kawasan yang menyumbang kepada semua bahan diperlukan dalam setiap produknya.

Lebih 90 peratus bahan utama dan sampingan dalam rangkaian produk kecantikannya daripada penjagaan wajah, rambut, tubuh, mekap, penjagaan tubuh bayi dan perhiasan rumah hinggalah ke hidangan makanan juga minuman boleh dikatakan semuanya hasil pertanian di Jeju.

Biarpun ada sejumlah kecil bahan yang didapati dari luar namun masih dalam wilayah Korea Selatan terutama minyak pati, bahan pertama yang akan dicari dan dikaji pasukan saintis Innisfree semestinya dari pulau terbabit.

Jelas Koo Ae-Ran, Pengarah Pemasaran Innisfree, pulau yang diisytiharkan sebagai salah satu Warisan Semula jadi Dunia oleh UNESCO itu menawarkan keperluan bahan yang diperlukan dalam setiap produknya.

“Apa saja hasil bumi di Pulau Jeju yang ditemui pasukan penyelidik Innisfree berpotensi besar untuk dibangunkan lalu digunakan untuk rangkaian kecantikan.

“Amalan pertanian organik di Jeju juga membuatkan Innisfree berterusan mengkaji dan berusaha menghasilkan produk yang menepati keperluan kulit setiap individu.

“Sebagai jenama kecantikan berkonsep naturalisme pertama di Korea, kami mendapatkan bahan daripada pelbagai jenis bunga, tumbuh-tumbuhan, gugusan tanah gunung berapi, mineral hinggalah ke rumpai laut Pulau Jeju lalu digabungkan bersama teknologi yang direka oleh unit penyelidikan dan pembangunan AMOREPACIFIC.

“Masih banyak lagi hasil bumi di Jeju yang belum diterokai potensinya dan Innisfree akan terus berusaha mengembangkan lagi potensi itu untuk rangkaian produk akan datang,” katanya.

Bebas racun perosak

Mengimbas sejarah penubuhannya, Innisfree diperkenalkan secara rasmi pada 2000 oleh AMOREPACIFIC yang turut menaungi label kosmetik terkenal Korea Selatan seperti Laneige, Sulwhasoo dan Etude House.

Syarikat AMOREPACIFIC yang diasaskan oleh Suh Sung-hwan itu sejak dulu menitikberatkan penggunaan bahan semula jadi dan amalan dagangan adil dalam setiap produknya.

Hubungan antara AMOREPACIFIC dengan Pulau Jeju bermula sejak 1979, di mana Suh Sung-hwan berusaha mengubah tanah terbiar yang berbatu di sebahagian besar pulau terbabit menjadi ladang teh hijau yang bebas racun dan haiwan perosak.

Kini, AMOREPACIFIC mengetengahkan Innisfree sebagai peneraju produk daripada sumber Jeju, dengan memberi penekanan kepada 10 bahan utama dalam penghasilan produk kosmetiknya.

Tumbuhan seperti teh hijau, mustard laut, tanah skoria gunung berapi, kulit limau tangerin, kacang soya hijau, canola, bunga kamelia, jejubija (buah pala) dan barli hijau digunakan secara meluas bagi mengatasi lapan masalah kulit utama dialami wanita Asia.

Masalah seperti kulit kering, kulit berminyak dan bintik hitam, selain kulit gelap, kedutan, liang roma yang besar, penghasilan sebum yang tidak terkawal serta timbunan sel kulit mati adalah antara kebimbangan yang sering diutarakan wanita lewat usia 20 hingga 30-an.

Kaya nutrisi

Teh hijau yang antioksidan dan tinggi tahap lembapannya digunakan secara meluas dalam rangkaian penjagaan lembapan, sitrus yang kaya dengan vitamin C digunakan dalam rangkaian Whitening Pore, mustard laut dengan tahap pemulihan mengagumkan digunakan untuk rangkaian antipenuaan manakala buah pala yang dikenal pasti mempunyai efek pemulihan kulit digunakan dalam rangkaian antimasalah.

Madu canola yang kaya nutrisi juga tinggi lembapan pula digunakan dalam rangkaian penjagaan lembapan, minyak bunga kamelia yang didapati penuh nutrisi dan kesan berseri digunakan dalam produk penjagaan rambut sementara kacang yang ditapai digunakan untuk rangkaian ketegangan dan penjagaan kulit wajah.

Tidak banyak jenama kosmetik yang berani menampilkan rejim penjagaan wajah yang pelbagai, namun Innisfree mempunyai sekurang-kurangnya 11 pilihan penjagaan wajah bagi memenuhi setiap keperluan kulit.

Seperti kunjungan media Malaysia ke dua Innisfree Jeju House di Samcheong-dong, Seoul dan Pulau Jeju, boleh dilihat bagaimana jenama ini menggunakan sebaiknya hasil bumi di pulau terbabit.

Jeju House di Samcheong-dong memberi penekanan kepada pengalaman hijau dalam bandar menerusi sistem perkebunan mampan. Ia bukan sekadar kedai atau kafe jualan produk semata-mata tetapi lebih kepada pendekatan holistik merangkumi fizikal dan mental.

Innisfree Jeju House pula bersifat kedai dalam kehijauan hutan dan hamparan ladang teh hijau Seogwang yang berlatarbelakang­kan Gunung Halasan. Ia menerapkan konsep deria pendengaran, pandang, rasa, sentuhan dan bauan.

Buat sabun sendiri

Elemen rasa membolehkan pengguna menikmati variasi hidangan makanan dan minuman yang menggunakan bahan segar dari Jeju.

Deria pandang seterusnya dijana dengan pemandangan memukau ladang teh hijau, hutan Gotwal dan gunung yang ada di sekelilingnya.

Bunyian unggas, kicauan burung dan deruan angin seterusnya merangsang deria pendengaran manakala deria bau dibangkitkan lagi dengan haruman segar serta bebas pencemaran.

Untuk elemen sentuhan, bengkel mini disediakan di ruangan tengah kedai. Bengkel ini membolehkan pengunjung membuat sendiri sabun organik menggunakan bahan popularnya, teh hijau, tangerin dan skoria gunung berapi.

Menerusi bengkel ini pengunjung memperoleh maklumat lanjut mengenai kandungan bahan semula jadi yang digunakan dalam produk Innisfree.

Tidak lengkap ke Jeju House tanpa singgah di zon kosmetiknya. Berbeza dengan cawangan Innisfree di seluruh dunia, Jeju House menampilkan beberapa rangkaian kosmetik khusus antaranya Fresh Topping Pack iaitu pek pupur DIY dengan 14 pilihan bahan semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 12:26 PM