KONSEP deria pendengaran, pandang, rasa, sentuhan dan bauan menjadi tarikan di Jeju House, Pulau Jeju.
KONSEP deria pendengaran, pandang, rasa, sentuhan dan bauan menjadi tarikan di Jeju House, Pulau Jeju.
KONSEP hijau turut diamalkan di ibu pejabat AMOREPACIFIC di Myeongdong, Seoul.
KONSEP hijau turut diamalkan di ibu pejabat AMOREPACIFIC di Myeongdong, Seoul.
KAWASAN kebun bunga canola yang mekar harum sepanjang musim panas.
KAWASAN kebun bunga canola yang mekar harum sepanjang musim panas.
RUANG tanaman yang disediakan khas di Innisfree cawangan Gangnam, Seoul.
RUANG tanaman yang disediakan khas di Innisfree cawangan Gangnam, Seoul.

Tidak sukar untuk menelaah setiap bait puisi karya figura kesusasteraan kelahiran Ireland ini. Temanya berpaksikan alam dan ketenangan yang dirinduinya.

Nyata William Butler Yeats mahu lari daripada hiruk-pikuk bisingnya bandar raya lalu kembali ke Pulau Innisfree yang disifatkannya penuh kedamaian sambil dibuai nyanyian unggas dan deruan air menenangkan.

Dalam bahasa Perancis, ‘Innis’ diterjemahkan sebagai pulau manakala ‘free’ bermaksud bebas.

Yang pasti, penulis seakan-akan terbayang ketenangan seperti yang diceritakan oleh penerima Anugerah Nobel itu saat diri berpeluang menjejakkan kaki ke hamparan luas ladang teh hijau di Pulau Jeju, Korea Selatan, baru-baru ini.

Sambil mendengar kicauan burung dan puputan bayu, ia mungkin gambaran sesuai mengenai pulau Innisfree dambaan Yeats itu. Minda dan emosi saling bersatu mencipta ketenangan diri sambil disulami kekaguman pada keindahan ciptaan Ilahi.

Innisfree diangkat sebagai pulau kebebasan. Innisfree juga dikatakan pulau penuh kedamaian. Dan satu-satunya Innisfree yang dikenali seluruh dunia ketika ini berusaha menzahirkan semua itu dalam himpunan francais produknya.

Innisfree hari ini dikenali antara peneraju produk kosmetik dan penjagaan tubuh terkemuka dunia yang mengaplikasikan pendekatan holistik menerusi penggunaan bahan organik.

Bagi peminat budaya Korea, K-Pop, K-Drama dan sebagainya, Innisfree bukanlah label luar biasa. Dibarisi selebriti gelombang Hallyu seperti Yoona (Girls’ Generation) dan pelakon popular, Lee Min Ho, setiap francaisnya pasti jadi tumpuan hangat.

Namun luar biasanya, setiap satu produk disertai dengan tabiat hijau yang banyak membantu perkem­bangan ekonomi penduduk tempatan.

Bak kata Pengarah Pemasaran Innisfree Koo Aeran, Innisfree dibangunkan dengan falsafah untuk menjalani gaya hidup sihat merangkumi tubuh dan minda menerusi tabiat penggunaan bahan semula jadi yang majoriti diperoleh dari Pulau Jeju.

“Kajian berterusan dijalankan untuk menjadikan rangkaian produk Innisfree ini berterusan melahirkan masyarakat global yang peka terhadap kecantikan berteraskan alam semula jadi.

“Sejak diperkenalkan, Innisfree berusaha mening­katkan kesedaran global mengenai pentingnya memelihara keseimbangan alam semula jadi, justeru wujudnya inisiatif menggunakan bahan mesra alam seperti bekas rendah karbon bersama pembungkusan yang 100 peratus daripada bahan kitar semula.

“Tidak ketinggalan labelnya yang dihasilkan daripada dakwat soya dan kulit limau tangerin. Ia boleh diguna semula hasil cetusan inovasi rekaan, di samping idea kreatif penjenamaan yang peka terhadap alam sekitar,” katanya.

Pada masa sama, empat sistem utama diguna pakai pada setiap pembuatan produk bagi menjadikan rangkaiannya bebas paraben, tidak mengandungi haiwan, pewarna dan minyak mineral.

Mengimbas sejarah penubuhannya, Innisfree diperkenalkan secara rasmi pada 2000 oleh AMOREPACIFIC yang turut menaungi label kosmetik terkenal Korea Selatan seperti Laneige, Sulwhasoo dan Etude House.

Sejarah Hijau Innisfree

AMOREPACIFIC yang diasaskan oleh Suh Sunghwan, sejak dulu menitikberatkan penggunaan bahan semula jadi dan amalan dagangan adil dalam setiap produknya.

Hubungan antara AMOREPACIFIC dengan Pulau Jeju bermula sejak 1979, di mana Suh Sunghwan berusaha mengubah tanah terbiar yang berbatu di sebahagian besar pulau terbabit menjadi ladang teh hijau yang bebas racun perosak.

Menariknya, ia antara langkah pertama seumpamanya dilakukan di pulau itu.

Kini, AMOREPACIFIC mengetengahkan Innisfree dengan penggunaan organik 100 peratus, seterusnya berjaya menampilkan kembali 10 bahan utama yang digunakan dalam produk kosmetik itu.

Selaku jenama kecantikan semula jadi paling dipercayai di Korea, barisan saintis Innisfree menggembara

ke seluruh Jeju untuk mencari kebaikan yang boleh

digunakan dalam setiap produknya bagi disesuaikan dengan masalah kulit wanita Asia.

Tumbuhan seperti teh hijau, mustard laut, tanah skoria gunung berapi, kulit limau tangerin, kacang soya hijau, canola, bunga kamelia, jejubija (buah pala) dan barli hijau digunakan secara meluas bagi mengatasi lapan masalah kulit utama dialami wanita Asia.

Masalah seperti kulit kering, kulit berminyak dan bintik hitam, selain kulit gelap, kedutan, liang roma yang besar, penghasilan sebum yang tidak terkawal serta timbunan sel kulit mati adalah antara kebimba–ngan yang sering diutarakan wanita lewat usia 20 hingga 30-an.

Tidak banyak jenama kosmetik yang berani menampilkan rejim penjagaan wajah yang pelbagai, namun Innisfree mempunyai sekurang-kurangnya 11 pilihan penjagaan wajah bagi memenuhi setiap keperluan kulit.

Rangkaian produk menarik seperti Moisturizing Jeju Green Tea Line, Pore Care Jeju Volcanic Line, Whitening Pore Line, Total Care Orchid Line, Nutrimoisturizing Care Olive Real Line dan Firming & Lifting Soybean Line antara yang menjadi pilihan wanita di seluruh dunia.

Pada setiap rangkaian itu, setiap jerih pengusaha ladang, saintis dan pengilang Innisfree diabadikan pada produk lengkap bercirikan mesra alam serta mesra pengguna.

Serum Green Tea Seed misalnya, mengandungi 152 benih teh hijau pada setiap botol sementara keseluruhan rangkaian Green Tea Seed itu menggunakan kaedah penghasilan perahan maksimum.

Dedikasi jenama ini terhadap kestabilan dan perlindungan alam semula jadi dapat dilihat menerusi pembabitannya menerusi Kempen Green Life yang mengumpulkan botol kosong dan sapu tangan mesra alam.

Sebahagian botol kosong ini dijadikan hiasan seni unik yang boleh dilihat pada kebanyakan cawangannya di seluruh Korea Selatan. Cawangan terbesarnya di Gangnam, Seoul, mempraktikkan keseluruhan amalan kitar semula ini.

Innisfree Jeju House pula bersifat kedai dalam kehijauan hutan dan ladang teh hijau sambil berlatarbelakangkan Gunung Halasan. Ia menerapkan konsep deria pendengaran, pandang, rasa, sentuhan dan bauan.

Meskipun tidak sepenuhnya, Innisfree cawangan Malaysia di pusat beli-belah Sunway Pyramid turut menerapkan konsep hijau.

Selain paparan produk yang mesra pengguna, Innisfree Malaysia menyediakan ruang khas untuk pengguna melakukan proses pensterilan pada sikat dan berus kosmetik mereka.

Innisfree Malaysia kini menawarkan percutian untuk pengguna tempatan bagi merasai pengalaman hijau di Pulau Jeju dengan pembelian bernilai RM120.

Mulai 1 hingga 20 Mei ini, peminat Innisfree yang berbelanja sehingga RM120 berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan penerbangan ke Pulau Jeju untuk dua orang.

Untuk maklumat lanjut boleh layari laman Facebook Innisfree di www.facebook.com/innisfreeMYS.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:35 AM