RATU Spa Hotel The Light mengalu-alukan kedatangan pengunjung.
RATU Spa Hotel The Light mengalu-alukan kedatangan pengunjung.

Bau harum ros yang masih melekat pada tubuh sebaik bangun dari tidur keesokannya serta kulit kering pada siku dan buku lali didapati hilang antara kesan awal selepas melalui pakej rawatan spa lengkap di Ratu Spa Hotel The Light Seberang Jaya, Pulau Pinang, baru-baru ini.

Peluang memanjakan diri selama hampir tiga jam itu hadir kali pertama seumur hidup selepas saya membuat keputusan tidak salah mencuba dan lelaki juga harus melalui merasai pengalaman ‘dibelai’ dan mendapat rawatan di spa.

Ratu Spa mengetengahkan konsep dari Bali, Indonesia jadi tidak hairanlah sebaik melangkah masuk hidung diterjah bauan daripada aromaterapi di meja penyambut tetamu. Dekorasi hiasan, perabot serta lukisan dilihat mempunyai gaya tersendiri.

Selepas berkenalan, Pengarah Ratu Spa Shafinie Shamsudin atau lebih dikenali sebagai Ibu Fini memberi penerangan ringkas mengenai spa yang menawarkan rawatan lengkap bermula dari hujung rambut ke hujung kaki itu.

Antara yang menjadi perhatian ialah rawatan Spa Eksotik menawarkan empat pakej iaitu dua pakej membabitkan bunga-Javanese Rose dan Whitening Hibiscus manakala dua lagi buah-buahan iaitu Cucumber Melon dan Peach Delima.

Saya tertarik untuk mencuba pakej Javanese Rose yang menggabungkan ros, beras, aprikot dan minyak aroma ros untuk kelembutan kulit, menanggalkan kulit mati dan kotoran serta memberi ketenangan kepada minda.

Saya dibawa ke bilik ditempatkan dua katil dengan dekorasi menarik lengkap dengan tab mandi. Gaya Indonesia diteruskan apabila kain batik digunakan sebagai penutup tubuh dan dibekalkan dengan seluar pendek bercorak batik.

Menerusi pakej rawatan lengkap itu, saya melalui lapan perkara yang belum pernah dialami seumur hidup dan paling awal, semburan pewangi ros untuk menyegarkan tubuh sebelum bahan sental dilumur ke seluruh anggota badan.

Selepas tubuh disental, saya kemudian masuk ke dalam tempat mandi wap selama hampir 20 minit yang menyebabkan peluh keluar membasahi tubuh.

Sesi berikutnya, tubuh diurut dengan teknik Jawa dalam masa sejam dan jelas, teknik menggunakan ibu jari yang tidak begitu menyakitkan itu membantu melegakan otot serta menghilangkan lenguh.

Selesai diurut, tubuh disapu masker dan saya kemudian berendam di dalam tab mandi dengan air campuran herba. Sesi berendam sambil menggosok seluruh tubuh dengan span lembut selama 20 minit itu sesekali membuatkan saya teringat aksi yang biasa ditonton dalam filem koboi.

Kemudian, saya sekali lagi mandi sebelum losen disapu ke seluruh badan dan disembur pewangi berbau ros. Yang jelas, tempoh tiga jam itu benar-benar digunakan untuk memanjakan tubuh dan merehatkan diri serta amat jarang memegang telefon pintar.

Rawatan Spa Eksotik yang ditawarkan pada harga RM300 untuk 150 minit itu mampu mencerah dan melembutkan kulit, menanggalkan kotoran, daki dan membuang kulit mati selain memberi aroma serta kesempatan untuk merehatkan dan melapangkan fikiran.

Mengulas mengenai Ratu Spa, Ibu Fini berkata, pihaknya menyediakan tujuh bilik spa untuk solo dan pasangan, dua bilik rawatan muka, salun selain ruang khas untuk refleksologi kaki bagi lelaki dan wanita.

Mereka menggunakan dua produk iaitu Dewi Sri Spa Martha Tilaar dan Sari Ayu Martha Tilaar yang memang dikenali berkualiti tinggi dan memberi kesan maksimum kepada penggunanya.

Konsep Bali

“Ratu Spa menerapkan konsep Bali dari Indonesia, jadi semua juruterapi berasal dari Indonesia, begitu juga dengan teknik urutan serta produk yang digunakan.

“Kami menawarkan salun rambut, rawatan wajah, urutan tradisional, pakej spa, refleksologi kaki serta rawatan kuku. Kami memiliki enam tenaga kerja dari Bandung, Jogjakarta dan Medan iaitu seorang pendandan rambut, empat juruterapi wanita dan seorang juruterapi lelaki,” katanya.

Rawatan Spa Signature pula termasuk Sensual Rose, Whitening Camphor, Contour Cananga dan Reviving Plumeria berharga RM285 untuk 150 minit.

Bagi urutan tradisional, pihaknya menawarkan tiga jenis perkhidmatan iaitu urutan Jawa yang menggunakan ibu jari ke seluruh tubuh mampu meredakan keletihan dan melegakan otot serta melancarkan peredaran darah dengan harga RM110 untuk 60 minit serta RM150 untuk 90 minit.

“Selain itu, urutan aromaterapi yang menggabungkan teknik urutan serta aroma yang mampu merehatkan badan dan menenangkan fikiran selama 60 minit berharga RM140 dan 90 minit (RM170).

“Turut ditawarkan urutan tungku herba Thai iaitu menggunakan tungku kain putih yang di dalamnya mengandungi herba seperti daun dan buah limau purut, lengkuas, halia dan serai yang dijemur kering sebelum dibungkus dan bagi 90 minit (RM170) dan 120 minit (RM120),” katanya.

Paling baru, pihaknya menawarkan urutan Keraton dari Jogjakarta dengan teknik urutan agak keras kerana banyak menggunakan siku, namun memberikan hasil dan kelegaan yang ketara.

Selain itu, disediakan rawatan rambut dengan khidmat pendandan yang bukan saja mahir dalam fesyen rambut terkini, malah berpengalaman serta pakar urutan kepala selain rawatan tangan dan kaki serta mandi susu atau herba.

“Lelaki juga perlu ke spa untuk memanjakan diri dan menjaga kebersihan. Selain itu, boleh merehatkan badan dan minda selepas penat bekerja kerana bukan urutan saja yang melegakan, tetapi aromaterapi.

“Malah, ada pesakit kanser payudara yang menjadi pelanggan kami dan kami tahu teknik urutan sesuai untuk mereka yang tidak boleh diurut badan sebaliknya urut di kaki saja untuk melancarkan peredaran darah,” katanya.

- Saipul Adli Mohamad

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 5:00 AM