Peminat kumpulan K-Pop popular, Big Bang berpeluang menyaksikan persembahan mereka apabila singgah di Kuala Lumpur bagi menjayakan Big Bang 2015 World Tour [Made] In Malaysia di Stadium Putra Tertutup, Bukit Jalil pada 25 Julai depan.

Ini konsert kedua mereka di Malaysia selepas berjaya menarik perhatian 15,000 peminat dalam dan luar negara pada Konsert Big Bang Alive Galaxy Tour 2012.

Konset sempena pelancaran album terbaru mereka, MADE, disokong Malaysia Major Events, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC).

Loser, lagu baru yang dikeluarkan baru-baru ini berjaya mencatat 10 juta tontonan di YouTube dalam masa kurang daripada empat hari.

Bagi mereka yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan konsert ini, jangan lupa dapatkan tiket yang dilancarkan hari ini di ruang legar Quill City Mall dari jam 11 pagi hingga 5 petang. Setiap orang berhak membeli maksimum lapan tiket di mana-mana kategori tiket.

Mereka yang tidak dapat hadir ke acara pelancaran tiket boleh membeli melalui TicketCharge laman web (www.ticketcharge.com.my) bermula jam 5 petang. Pemegang tiket Rock Zone A, B, VIP Cat 1 berpeluang memenangi “Sound Check” tiket secara cabutan bertuah.

Jualan tiket di kedai terpilih seperti pejabat TicketCharge, pejabat IME Productions, Speedy, Rock Corner, Victoria, NEWAY Karaoke bermula jam 10:00 pagi, 18 Mei (Isnin) atau hubungi TicketCharge Hotline.

Harga tiket ialah RM798 untuk Rock Zone A (berdiri), RM698 (Rock Zone B/berdiri),VIP Cat 1 (RM698), Cat 2 (RM598), Cat 3 (RM498) dan Cat 4 (RM288). Semua harga termasuk 6% GST tapi tidak termasuk kos pengendalian tiket RM4.

Untuk maklumat lanjut, layari laman Facebook rasmi penganjur, IME Productions, www.facebook.com/imepmy atau Facebook rasmi BIGBANG.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:02 AM