NAMA Big Bang terus kukuh.
NAMA Big Bang terus kukuh.
Oleh Georgie Joseph

Cukup meninggalkan teka-teki mengenai ‘comeback’ mereka berlima tahun ini, persoalan itu akhirnya terungkai apabila Big Bang mengotakan janji mereka apabila tampil dengan album baru berjudul Made, baru-baru ini.

Apa yang pasti, dua single terbaru kumpulan paling berpengaruh dari Korea Selatan itu, Bae Bae dan Loser serta-merta meledak serta mendominasi carta-carta muzik.

Begitu juga muzik video rasminya di YouTube mencatat lebih 10 juta tontonan sejak dilancarkan dalam hanya tempoh masa singkat.

Kembali bersatu selepas sebelum ini sibuk merencanakan karier solo masing-masing, ‘comeback’ mereka bermakna ia akan disusuli dengan siri konsert jelajah Big Bang 2015 World Tour.

Paling menarik, konsert itu turut meletakkan Kuala Lumpur sebagai salah satu lokasinya iaitu di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 25 Julai ini. Kali pertama mengadakan konsert di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2012, lebih 20,000 penonton hadir.

Selepas tiga tahun menanti, yang pasti sambutan terhadap konsert dianjurkan IME Productions itu jelas luar biasa seperti mana berlaku sebelum ini.

Ternyata, biar silih berganti artis baru muncul dari Korea Selatan, taring Big Bang masih belum tergugat dan gawang peminatnya jelas kukuh hingga saat ini.

Buktinya, pada pelancaran pembelian tiket yang dilakukan Ahad lalu di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, tiket untuk konsert berkenaan terjual lebih 80 peratus.

Tentunya kumpulan pertama peminat sanggup beratur menunggu sembilan hari sebelum tarikh pelancaran itu demi memastikan tidak terlepas membeli tiket konsert dinantikan berkenaan.

Pada hari itu juga, lebih 1,000 peminat sanggup datang bagi membuat pembelian itu yang hanya berlangsung selama satu hari saja.

Tiket-tiket terhad berharga RM798 (Rock Zone A), RM698 (Rock Zone B), RM698 (VIP Cat 1), RM598 (Cat 2), RM498 (Cat 3), dan RM288 (Cat 4) masih boleh didapati menerusi laman web www.ticketcharge.com.my atau menghubungi talian hotline TicketCharge 03-92228811.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2015 @ 8:59 AM