Anyeonghaseyo! Sukar untuk menidakkan kuasa empayar kumpulan Big Bang yang kekal dengan momentum serta fenomena mereka.

Hingga saat ini, kumpulan dianggotai G-Dragon, Taeyang, T.O.P, Daesung dan Seungri itu tiada tandingan.

Bagi peminat tegar mereka di Malaysia pastinya kedatangan Big Bang ke Kuala Lumpur pada 25 Julai ini amat dinanti-nantikan. Buktinya, tiket untuk konsert mereka di Stadium Putra Bukit Jalil itu habis dijual dalam masa singkat hingga penganjur IME Productions terpaksa menambah sehari tarikh penjualan tiket pada 24 Julai ini.

Keputusan itu diambil penganjur memandangkan ramai terpaksa berputih mata gara-gara kehabisan tiket.

Sekian lama dinantikan, Big Bang akhirnya membuat ‘comeback’ selepas anggotanya sibuk dengan karier solo masing-masing sebelum ini.

Muncul dengan album terbaru Made, apalagi yang boleh dinafikan dengan kehebatan kumpulan itu apabila album itu luar biasa seperti diharapkan peminat.

Masih segar di ingatan, ketika kedatangan mereka ke sini pada 2012, lebih 15,000 penonton berhujan demi memastikan tidak terlepas konsert Big Bang.

Ia membuktikan peminat kumpulan itu sangat setia dan tidak hairanlah tiket-tiket mereka habis terjual.

Bagaimanapun, bagi yang terlepas pasti lega dan berpeluang menyaksikan konsert mereka nanti.

Dibuka penjualan tiketnya pula untuk sesi persembahan pertama pada 24 Julai ini, tiket boleh didapatkan dengan melayari laman web www.ticketcharge.com.my serta kedai muzik terpilih seperti Speedy, Rock Corner, Victoria, dan Neway Karaoke.

Membuka kisah hangat Ulzzang! minggu ini, anggota kumpulan Sistar iaitu Hyorin nampaknya tidak berahsia apabila berkongsi mengenai sikap buruknya yang kerap mabuk suatu ketika dulu.

Ketika itu, dia belum bergelar penyanyi.

Bagaimanapun, menurutnya sikap buruk itu berubah sebaik dia menjadi artis.

Hyorin berkata, kini dia lebih berhemah walaupun berada di bawah pengaruh alkohol.

“Disebabkan saya suka mengambil alkohol, ramai berkata saya sangat menjengkelkan setiap kali mabuk. Bagaimanapun, perangai itu berubah secara semula jadi selepas saya menjadi artis,” katanya.

Perkara itu turut diakui seorang anggota Sistar iaitu Soyou yang mendedahkan Hyorin lebih menjaga adabnya setiap kali di bawah pengaruh alkohol.

“Hyorin akan bertukar menjadi baik pula setiap kali dia mabuk. Kadang-kadang dia bertanya sama ada seseorang itu sudah makan atau belum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 10:44 AM