Kuala Lumpur: Tiada makna bagi angka satu atau yang terbaik di negara ini untuk Chong Wei Feng selepas pemain berusia 27 tahun itu diketepikan daripada beraksi di Kejohanan Dunia di Jakarta pada 10 hingga 16 Ogos.

Segala-galanya selepas mesyuarat exco Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang dipengerusi Presiden Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff semalam memutuskan untuk menyenaraikan Datuk Lee Chong Wei serta Zulfadli Zulkiffli ke kejohanan itu.

Jelas Tengku Mahaleel, segala perkara sudah dipertimbangkan sebelum memilih Chong Wei serta Zulfadli.

“Kami mengambil keputusan menyenaraikan Chong Wei. Jika kami tidak menyenaraikannya, ia hanya akan menjejaskan peluang kita memenangi pingat,” katanya semalam.

Tengku Mahaleel sedar, pemilihan Chong Wei kemudian akan mencetuskan persaingan antara Wei Feng serta Zulfadli.

“Wei Feng lebih tua berbanding Zulfadli dan dia sudah beraksi di Kejohanan Dunia dua kali.

“Zulfadli pula baru berusia 21 tahun. Berdasarkan prinsip kami untuk memberikan peluang kepada lebih ramai bakat baru, kami mengambil keputusan menyenaraikan Zulfadli.

“Untuk Wei Feng, kami akan terus memberi sokongan kepadanya dan memastikan dia layak ke Sukan Olimpik Rio,” katanya.

Wei Feng serta Zulfadli pada awalnya layak ke Kejohanan Dunia secara merit selepas masing-masing menduduki ranking ke-31 dan 41, jauh lebih baik berbanding Chong Wei di ranking ke-45.

Bagaimanapun, ‘kehadiran’ Chong Wei yang sudah melalui hukuman penggantungan lapan bulan berikutan kegagalan ujian doping, mencetuskan saingan tiga penjuru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 8:42 AM