Kuala Lumpur: Jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock berazam meningkatkan kembali semangat anak buahnya Chong Wei Feng selepas tidak terpilih mewakili negara ke Kejohanan Dunia di Jakarta, Ogos ini.

Menurut Seu Bock, beliau tidak boleh buat apa-apa mengenai keputusan pihak pengurusan memberi laluan kepada Datuk Lee Chong Wei dan pemain muda, Zulfadli Zulkiffli (gambar).

“Kini tugas saya adalah bagaimana memulihkan semula semangatnya. Saya tahu Wei Feng tidak gembira dengan keputusan ini dan sedaya upaya akan bantunya,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, pihak pengurusan sudah mengatur rancangan buat pemain perseorangan seperti Chong Wei, Wei Feng dan Liew Daren sejak tahun lalu bagi membolehkan mereka melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

“Wei Feng sebelum ini dijanjikan untuk beraksi 13 hingga 14 pertandingan tahun ini, saya tidak mahu komen mengenai itu tetapi saya perlu tahu maksud pihak pengurusan mengenai perancangan mereka.

“Yang penting bagaimana meningkatkan ranking, mungkin Wei Feng akan dihantar lebih banyak beraksi di kejohanan bertaraf Grand Prix (GP) Emas,” kata Seu Bock.

Bagaimanapun, Seu Bock mengakui walaupun Wei Feng akan beraksi di GP Emas, ia bukan mudah buatnya kerana ramai pemain berlumba-lumba untuk memburu tiket ke Olimpik dan mengambil bahagian di kejohanan berkenaan.

“Memang bukan mudah tetapi bukan juga mustahil untuk dia cemerlang di GP Emas nanti. Setiap bulan perlu ada pertandingan dan dia tidak boleh menarik diri. Kini mungkin ada baki tujuh hingga lapan pertandingan tetapi saya rasa BAM wajar tambah lagi kejohanan.

“Saya akan bincang dengan pihak atasan. Dia perlu berada dalam kelompok 16 terbaik untuk layak ke Olimpik dan kedudukan itu pernah dicapainya sebelum ini dengan syarat dia tidak berdepan masalah kecederaan,” katanya.

Tambahnya, sejak Siri Super Premier Terbuka Malaysia, persembahan Wei Feng bertambah bagus dan dalam tempoh dua minggu ini dia akan sentiasa berbincang dari hati ke hati dengan anak buahnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 6:07 AM