BRENDAN Gan selesai menjalani pembedahan akibat kanser testis. FOTO Arkib NSTP
BRENDAN Gan selesai menjalani pembedahan akibat kanser testis. FOTO Arkib NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Selangor FC memberi sepenuh sokongan dan bantuan termasuk segala proses perubatan diperlukan tonggak tengahnya, Brendan Gan, yang kini sedang 'berperang' dengan kanser testis.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon berkata, pengerusi kelab iaitu Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj antara individu mengambil berat mengenai kebajikan semua pemain termasuk masalah kesihatan menimpa Brendan.

Katanya, sejak dimaklumkan mengenai kesihatan pemain kebangsaan itu, Tengku Amir mengarahkan kelab segera mengambil langkah drastik dengan merujuk tahap kesihatan Brendan bersama doktor pakar.

Ujarnya, semua kos rawatan ditanggung kelab menerusi perlindungan insurans diwajibkan ke atas semua pemain Red Giant.

"Alhamdulillah, semua pemain memiliki insurans perubatan di bawah kelab. Malah, pasukan perubatan kita dan pakar bekerjasama erat untuk memberi rawatan terbaik dan sempurna kepada Brendan.

"Tapi untuk saya berkongsi lebih 'detail' tak pasti boleh atau tidak kerana Brendan sendiri meminta agar dirinya diberi ruang dan 'privasi' untuk menjalani tempoh rawatan ini.

"Namun ada beberapa prosedur harus dilakukan termasuk sekali kitaran kemoterapi bagi matikan kuman. Tetapi butiran lebih mendalam saya tidak ada. Ia antara pesakit dan pegawai perubatan sahaja.

"Apapun, kami akan berikan sepenuh sokongan moral dan bantuan sehingga dia mampu sembuh. RMS mengarahkan kelab menampung segala perubatannya dan kami akan pastikan perkara itu," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, penyokong bola sepak negara dikejutkan dengan perkhabaran Brendan menghidap kanser testis dan khidmatnya mungkin terpaksa diketepikan bagi membolehkan proses pemulihan dijalankan.

Menerusi satu kenyataan media dikongsikan kelabnya, bekas pemain Kelantan dan Perak itu sudah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan itu.

Walaupun 'jeneral' tengah itu baru sahaja membuat pembedahan, semangat Brendan cukup tinggi dan mahu segera pulih untuk membantu skuad Merah Kuning dalam baki kempen Liga Malaysia, musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Julai 2021 @ 5:54 PM