RAMANAN (tiga, kiri), Syed Hussian (dua, kiri) dan Mohamed Shamir (tiga, kanan) ketika menyerahkan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) kepada Subathra Devi Subramaniam, 45 (dua, kanan) pada majlis pelancaran dana tersebut. FOTO Bernama
RAMANAN (tiga, kiri), Syed Hussian (dua, kiri) dan Mohamed Shamir (tiga, kanan) ketika menyerahkan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) kepada Subathra Devi Subramaniam, 45 (dua, kanan) pada majlis pelancaran dana tersebut. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Lumpur: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan dana khas RM50 juta bagi memperkasakan usahawan wanita India menerusi program Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan.

Beliau berkata peruntukan yang menggunakan dana dalaman AIM itu memberi manfaat kepada lebih 7,100 Sahabat Usahawan India yang baharu dan menjadikan jumlah penerima manfaat daripada Skim Pinjaman Ikhtiar AIM kepada 10,200 orang termasuk 3,100 Sahabat Usahawan sedia ada.

Inisiatif AIM itu katanya, selaras dengan usaha merealisasikan hasrat dan harapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu memastikan tidak ada rakyat tercicir dalam usaha pembangunanan negara.

"Saya yakin dengan kemampuan AIM bahawa program PENN ini akan melahirkan lebih ramai usahawan mikro masyarakat India yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan dan merancakkan ekonomi negara.

"Program ini juga merupakan satu lagi langkah untuk memajukan, memperkasakan dan menggemilangkan wanita India di negara ini seiring dengan gagasan Malaysia MADANI," katanya dalam ucapan pada majlis pengumuman dana khas itu di Ibu Pejabat AIM di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah AIM Datuk Seri Syed Hussain Syed Junid dan Pengarah Urusan AIM Mohamed Shamir Abdul Aziz.

Ramanan berkata ahli Sahabat Usahawan boleh menghantar permohonan program PENN bermula Isnin ini di 124 Pejabat Cawangan AIM di seluruh negara.

Sementara itu, usahawan wanita India menyifatkan pengumuman itu bagaikan durian runtuh kerana program berkenaan akan membantu mereka mengukuhkan prestasi seterusnya mengembangkan perniagaan masing-masing.

Pengusaha kedai runcit yang juga Sahabat Usahawan AIM dari Rawang, Selangor, S Subratha Devisubramaniam, 45, berkata, dia berhasrat menggunakan dana itu untuk membuka cawangan baharu perniagaannya.

"Saya amat bersyukur ada bantuan seperti ini. Ia juga menunjukkan setiap lapisan masyarakat dan kaum tidak tercicir dalam mendapat kemudahan lebih-lebih lagi bagi kami usahawan kecil dan sederhana," katanya.

Bagi ejen pelancongan dari Selayang, A Krisnaveni, 39, dengan adanya pelbagai bantuan di AIM dan di peringkat kerajaan sendiri, katanya golongan wanita terutama masyarakat India wajar mengambil peluang untuk berkecimpung dalam bidang keusahawan.

Katanya, wanita India seharusnya berani ke hadapan dan meneroka potensi diri dalam bidang keusahawanan yang sekali gus membuka peluang meningkatkan hasil pendapatan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 12:29 PM