Oleh Isma Ismail

Johor Bahru: Seramai 36 lelaki termasuk tujuh warga Indonesia dan seorang dari Singapura ditahan selepas disyaki berjudi permainan 'See Goh Lak' dan sabung ayam di Kampung Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, pelbagai peralatan judi dadu itu dirampas dalam serbuan terbabit.

Menurutnya, 12 ekor ayam sabung yang dipercayai digunakan untuk berjudi turut dirampas.

"Kami juga merampas wang tunai sebanyak RM2,360 disyaki wang pertaruhan kaki judi terbabit.

"Kesemua yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 44(1) Akta Binatang 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mei 2015 @ 12:23 PM