FOTO ihsan polis
FOTO ihsan polis
Oleh Syahril Azam

Klang: Tujuh belas lelaki ditahan polis kerana menjalankan aktiviti menyabung ayam di kawasan hutan berhampiran Klang Villa, Pandamaran, di sini, petang semalam.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan kira-kira 4.30 petang, selepas beberapa hari melakukan risikan dan merampas 17 ekor ayam sabung serta wang tunai RM720.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada semua suspek berusia 33 hingga 69 tahun yang ditahan, 11 orang daripadanya rakyat tempatan dan enam lagi adalah warga Indonesia.

Beliau berkata, hutan berkenaan dipercayai sudah dijadikan sebagai lokasi kegiatan sabung ayam setiap hujung minggu sejak sebulan yang lalu.

"Semua yang ditahan di bawa ke IPD Klang Selatan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2015 @ 6:51 PM