Polis melakukan serbuan di kebun durian yang dijadikan tempat bermain judi dan sabung ayam hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Polis melakukan serbuan di kebun durian yang dijadikan tempat bermain judi dan sabung ayam hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Izlaily Nurul Ain Hussein


SINDIKET perjudian jenis ‘See Go Lak’ dan sabung ayam didapati bergiat aktif apabila menjadikan kebun durian dekat Sungai Tiram, Johor Bahru sebagai lokasi rahsia melakukan aktiviti itu sejak sebulan lalu.

Ia terbongkar selepas polis menjalankan serbuan 1 hingga 3 pagi hari ini dan menahan 55 individu termasuk wanita di kawasan kebun berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Md Yusof Ahmad berkata, semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 65 tahun.

Beliau berkata, dua jenis perjudian itu yang beroperasi sejak lebih sebulan lalu menjadikan kebun durian sebagai sarang untuk menganjur aktiviti haram itu yang bertujuan mengaut keuntungan mudah.

“Hasil risikan selama sebulan, pasukan Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), JSJ negeri melakukan serbuan di kawasan berkenaan.

“Pelbagai rampasan diperoleh antaranya wang tunai RM42,399, sebuah meja, tiga kerusi kayu, piring dan mangkuk, 12 dadu, kertas pertaruhan judi jenis See Go Lak, lima unit piala yang mana nilai pertaruhan antara RM3,000 hingga RM10,000, 18 ekor ayam jantan dan pelbagai peralatan untuk perjudian,” katanya.

Menurut Md Yusof, sindiket perjudian terbabit menggunakan taktik atau modus operandi dengan menjadikan ayam jantan dan wang tunai sebagai nilai pertaruhan.

“Semua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953,” katanya.

Beliau berkata, penganjur aktiviti perjudian juga disiasat mengikut Seksyen 4(1)a atau Seksyen 4(1)b akta sama kerana membenarkan permainan judi dimainkan dalam rumahnya.

“Tangkapan yang membabitkan warga asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki tiada dokumen pengenalan diri sah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 5:29 PM