PADA suku keempat 2023, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.
PADA suku keempat 2023, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.

MALAYSIA mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 3.7 peratus pada 2023, selepas berkembang sebanyak 3.0 peratus pada suku keempat tahun lalu, disokong oleh aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih.

Bank Negara Malaysia (BNM) berkata, pertumbuhan sederhana dalam persekitaran luaran yang mencabar pada tahun lepas, berikutan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 8.7 peratus dicatatkan pada 2022.

Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 2.1 peratus berbanding pertumbuhan sebanyak 2.6 peratus pada suku ketiga.

"Dalam negeri, walaupun tiada sokongan dasar yang besar apabila ekonomi mula berkembang pada 2022, aktiviti ekonomi dan keadaan pasaran pekerja yang terus pulih menyokong pertumbuhan pada 2023," menurut bank pusat itu dalam kenyataan, semalam.

Katanya, lebihan akaun semasa pada 2023 mampan pada 1.2 peratus daripada KDNK, disokong oleh kepelbagaian struktur eksport dalam pasaran dan produk walaupun persekitaran luaran mencabar.

"Kekukuhan kedudukan luaran juga dicerminkan oleh hutang luar negeri yang menurun kepada 68.2 peratus daripada KDNK pada 2023 (suku ketiga 2023: 69 peratus) dan kedudukan pelaburan antarabangsa bersih yang lebih tinggi iaitu 6.6 peratus daripada KDNK pada 2023 (suku ketiga 2023: 5.2 peratus)," katanya.

BNM menekankan bahawa yang penting, hutang luar negeri kekal terurus berikutan profil tempoh matang dan mata wang yang menggalakkan.

Katanya, satu pertiga daripada hutang luar negeri adalah dalam denominasi ringgit, mengehadkan risiko mata wang, manakala kira-kira 70 peratus daripada hutang mempunyai tempoh jangka sederhana dan panjang.

Peminjaman dalam mata wang asing juga adalah tertakluk kepada keperluan kehematan Bank Negara Malaysia (BNM) dan terus terdiri terutamanya daripada pinjaman antara kumpulan secara konsesi.

Pada suku keempat 2023, perbelanjaan isi rumah terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik dan tekanan kos yang mereda.

Selain itu, kadar pengangguran menurun kepada paras sebelum pandemik iaitu 3.3 peratus, manakala kadar penyertaan tenaga kerja mencapai paras tertinggi pada 2023.

Sementara itu, pertumbuhan dalam aktiviti pelaburan disokong oleh pelaksanaan projek jangka masa panjang yang progresif dan pengembangan kapasiti oleh syarikat.

Bagaimanapun, katanya, eksport kekal lembap disebabkan oleh kelemahan permintaan luaran yang berpanjangan dalam keadaan import yang lebih kukuh. Dari segi penawaran, terdapat pengembangan yang meluas.

Bagi ringgit, mata wang itu menambah nilai sebanyak 2.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat 2023, selaras dengan mata wang serantau susulan penurunan nilai dolar AS yang meluas.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Februari 2024 @ 7:01 AM