Oleh Azizan Hashim


Ipoh: Jangan putar belitkan fakta. Begitulah permintaan Presiden Kelab Peminat Bola Sepak Perak (KPBP) Abdul Jamil Othman kepada Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (KPBJDT), Mohd Fadzlie Sapie mengenai isu kekecohan dalam Stadium Perak selepas perlawanan Liga Super antara Perak dengan Johor DT, Jumaat lalu.

Jamil yang melihat sendiri insiden itu dari awal hingga ke akhir berharap Mohd Fadlie tidak cuba menegak benang basah dan menyembunyikan hakikat sebenar perlakuan ganas penyokong Johor DT pada malam itu.

“Tiada provokasi oleh penyokong Perak atau tindakan melontar objek keras ke arah penyokong pelawat.

“Tiada konfrontasi secara fizikal antara penyokong Perak dengan penyokong Johor. Penyokong tuan rumah meninggalkan stadium sebaik selepas perlawanan. Di luar terdapat kawalan ketat anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

“Manakala penyokong Johor dikumpulkan di dalam padang. Tiada balingan objek berlaku.

“Malah, penyokong Johor DT selepas itu bebas melakukan aktiviti . Mereka menyanyi dan berbuat apa saja, tiada siapa yang mengganggu. Mungkin ada kata mengata, tetapi bukan berbentuk fizikal.

“Bagaimanapun, melihat kelibat penyokong Perak di kawasan tempat duduk seberang stadium mereka tiba-tiba mula berkejar ke arah kumpulan itu, tetapi mujur ada pagar yang menghalang.

“Bagaimanapun, ‘tidak dapat tanduk telinga dipulas’ jadi mereka merosakkan papan iklan yang terletak di tepi padang.

“Bagi saya mereka ini berlagak seperti ayam jantan dan hanya mencari alasan untuk menimbulkan kekecohan sedangkan keselamatan mereka langsung tidak terancam ketika itu,” katanya mengulas kenyataan Mohd Fadzlie bahawa penyokong Perak melakukan provokasi.

Menurut Jamil dia juga melihat penyokong Johor DT bergaduh dengan anggota FRU semasa berjalan ke kawasan parker bas di Sungai Senam.

“Bayangkan dengan anggota FRU pun mereka cari pasal. Saya tidak faham jenis manusia apa ini,”katanya.

Jamil juga berkata, PAFA sudah mengambil langkah berjaga-jaga dalam usaha mengelak kejadian tidak diingini pada malam itu, tetapi malangnya penyokong Johor lupa pada pepatah ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung’.

Sementara itu, Jamil juga menegur sikap pemain senior pasukan Johor, Mohd Safee Sali kerana bertindak kasar terhadap pemain muda Perak, Ahmad Khairil Anuar hingga hampir mencetuskan pergaduhan .

“Dia pemain senior dan dihormati. Dia tidak sepatutnya bertindak seperti samseng terhadap pemain muda walaupun marah kepada pemain itu,”kata Jamil.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2015 @ 5:06 AM