ANTARA adegan menyayat hati dalam Ramadan Berteduh Syawal.
ANTARA adegan menyayat hati dalam Ramadan Berteduh Syawal.
ANTARA adegan menyayat hati dalam Ramadan Berteduh Syawal.
ANTARA adegan menyayat hati dalam Ramadan Berteduh Syawal.
PERBINCANGAN antara Ellie dan Zainuddin.
PERBINCANGAN antara Ellie dan Zainuddin.
ELLIE (berdiri empat dari kanan) dan Zainuddin (berdiri tiga dari kanan) bersama pelakon dan kru.
ELLIE (berdiri empat dari kanan) dan Zainuddin (berdiri tiga dari kanan) bersama pelakon dan kru.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Tugas yang diamanahkan perlu digalas sebaik mungkin. Itulah yang dilakukan oleh Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-26 (FFM26) Ellie Suriati Omar apabila diberikan tugas mengarah telefilem Ramadan Berteduh Syawal yang menjalani penggambaran di sekitar Kuala Selangor, Selangor baru-baru ini.

Seawal diberikan tugasan, pengarah filem Penanggal ini sudah berdepan ujian apabila pelakon wanita yang sepatutnya membawakan watak utama tidak mengotakan janji menyebabkan mereka terpaksa mencari pengganti pada saat akhir.

Mujurlah Sari Yanti bersetuju menerima lamaran pada detik genting ini bagi digandingkan dengan Beto sebagai pelakon utama, sekali gus membuatkan penggambaran berjalan lancar seperti dirancang.

Berpeluang meninjau penggambaran telefilem ini, timbul rasa kagum melihat kesungguhan Ellie bersama barisan produksi serta pelakon yang tekun bekerja tanpa menghiraukan cuaca panas membahang.

Tidak ketinggalan turun padang ialah penerbitnya, Zainuddin Mohd Ismail yang mahu melihat sendiri masalah yang berlaku di lokasi selain sebagai tanda sokongan terhadap mereka.

Ditemu bual dalam kenderaan ketika bergerak untuk ke lokasi berikutnya, Ellie melahirkan penghargaan buat Enuja Production yang memilihnya mengarahkan telefilem berkonsep dakwah membina ini.

“Alhamdulillah pengalaman terbabit dengan telefilem ini sangat menarik. Kami semua sangat teruja dapat bekerja untuk naskah yang hebat ini. Setiap babak yang dilakukan, komitmen yang ditunjukkan oleh semua pelakon sangat bagus.

“Sudah tentunya pasukan produksi juga memberikan kerjasama sangat baik dalam penghasilannya. Semuanya bekerja sepenuh hati. Itulah juga pesanan saya kepada semua setiap kali bekerja.

“Apabila bekerja secara ini, Allah akan berikan hasil luar biasa. Barisan pelakon yang ditampilkan pula semuanya hebat termasuk pelakon pembantu, jadi setiap babak yang ditampilkan sa–ngat istimewa,” katanya.

Menurutnya, Ramadan Berteduh Syawal adalah satu ingatan kepada penonton dan persembahan berbeza kerana mengisahkan satu keluarga yang terpaksa melalui dua kali hari raya dalam mengecapi nikmat sambutan Aidilfitri sebenar.

“Mereka mengalami musibah ketika menyambut Aidilfitri dan tahun berikutnya barulah merasakan hari raya dalam semangat yang berbeza. Ketika menerima ujian Allah, mereka seakan-akan sukar menerimanya.

“Dugaan bertimpa-timpa dan mereka berdepan kesalahan demi kesalahan tanpa melihat ujian itu sebagai tanda Allah sayangkan mereka. Kadangkala kita menyalahkan takdir tanpa memikirkan itu sikap yang salah.

“Inilah yang ditampilkan menerusi watak Khairol (Beto) yang gagal mengawal baran sehinggalah dia masuk penjara, rumah terbakar, kehilangan emak, isteri dan anak. Selepas keluar penjara, kekesalan yang dilalui dalam penjara, menjadikan dia kuat bagi meneruskan kehidupan,” katanya.

Ellie berkata, tidak banyak penambahbaikan yang dibuat bagi memantapkan cerita ini kerana penulis skripnya, Mazelan Manan dikenali sebagai penulis skrip yang hebat.

“Dia mempunyai rasa yang kuat dan saya cuba dapatkan apa yang dikehendaki oleh penerbit dan Mazelan sendiri. Apa bayangan dan ideologi yang nak dibawakan dalam telefilem ini daripada semangatnya, cinta dan kasih sayangnya.

“Ada pelbagai drama raya tapi Ramadan Berteduh Syawal tampil dengan persembahan berbeza. Saya ambil semangat berpuasa adalah dugaan dan hari raya adalah hari kemenangan. Kita perlu bersyukur.

“Tak dinafikan saya melihat cerita ini daripada skala filem tapi tentunya apabila buat untuk TV, harus pergi kepada lakon TV. Bagaimanapun, ada nuansa filem didalamnya apabila saya adakan babak pergaduhan dan lebihkan kepada aspek pembikinan filem.

“Namun, ia disesuaikan dengan bentuk lakon TV dan hasilnya pasti memuaskan hati. Saya harap telefilem ini mampu menarik perhatian ramai penonton.

“Dalam babak pergaduhan, saya ambil pendekatan berbeza apabila tampilkan Beto bergaduh di kawasan berlumpur di tepi pantai. Apabila saya lalu di kawasan tepi pantai untuk cari lokasi, saya lihat kawasan berlumpur apabila air surut.

“Dari situlah timbulnya idea untuk saya buat babak ini. Kita selalu buat babak pergaduhan dia atas tanah, apa salahnya saya buat kelainan kali ini,” katanya.

Sari Yanti paling layak

Ellie turut mengucapkan terima kasih buat Sari Yanti yang berani mengambil cabaran melakonkan watak Serena, namun melahirkan perasaan kecewa dengan pelakon asal yang sepatutnya membintangi telefilem ini.

“Kami memang sudah ikut jadual seperti dikehendaki pelakon ini. Bahkan kami juga sudah mulakan penggambaran. Apabila ada perubahan, kami terpaksa cari pengganti lain. Tapi saya lihat Sari Yanti juga layak memegang watak ini.

“Saya anggap ini rezeki dia dan ada hikmah tersendiri. Dia ada keistimewaan sendiri. Cuma, saya harapkan pada masa akan datang, jika seseorang pelakon itu tak boleh beri komitmen, janganlah ambil sesuatu projek dan beritahu awal-awal.

“Kami pun tak paksa berlakon sekiranya dia tak boleh ambil ‘job’ ini. Pengurus yang jaga artis, janganlah ambil tawaran sehingga dua tiga dalam satu masa sehingga menyusahkan artis mereka.

“Kalau sekiranya artis itu pegang watak utama, dia perlu habiskan tujuh hari penggambaran dan tak masuk akal sekiranya jadual yang diberikan hanya dua hari.

“Ia bukan kerja mudah kerana kita perlu fikirkan jadual pelakon lain serta lokasi dan sebagainya. Harga yang dibayar juga berbeza dengan pelakon lain. Saya sedih kerana ia berlaku pada era sekarang,” katanya tegas.

Panas baran bawa padah

Zainuddin pula berkata, dia cuba mengutarakan kisah panas baran individu yang boleh mengundang kesal berpanjangan dalam hidup.

“Banyak kesan yang berlaku akibat gagal mengawal kemarahan seperti yang kita baca dalam akhbar sebelum ini. Inilah yang berlaku dengan Khairol yang menyesal dengan kesilapan lampau dan mahu berubah.

“Cerita ini sememangnya bawa pengajaran dan mesej kepada masyarakat. Elemen didalamnya memang berlaku dalam realiti kehidupan sebenar. Saya agak terkilan kerana berlaku masalah tak diingini pula dalam telefilem ini.

“Ini produk pertama Ellie yang bakal disiarkan oleh TV3. Jadi dia nak buat yang terbaik. Apabila berlaku masalah ini, ia sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya pada pengarahan. Saya kurang senang dengan sikap begini. Mereka perlu contohi pelakon lama yang beri komitmen penuh pada lakonan,” katanya.

Ramadan Berteduh Syawal mengisahkan Khairol yang bekerja sebagai penghantar cepat, dibuang kerja dengan notis 24 jam selepas dokumen penting pelanggan hilang ketika berada dalam tanggungjawabnya selepas dia menandatangan borang penerimaan barang yang diserahkan oleh Sara, kerani syarikatnya bekerja.

Disebabkan itu, dia mula tertekan. Ibunya, Mak Esah memintanya bersabar, tetapi isterinya, Serena risau mereka akan berdepan dengan masalah kerana terpaksa membayar ansuran bulanan barang kemas yang dibeli sempena ulangtahun perkahwinan mereka.

Khairol yang mudah menggelabah, merungut mengenai perkara ini membuatkan Serena merungut kerana dia tidak pernah meminta atau memaksa suaminya membelikan barangan kemas ini.

Dia memberikan cadangan agar Khairol memulangkan barangan kemas ini kepada Kak Ani, penjual barang kemas itu namun, Kak Ani enggan menerima kerana menganggap barangan kemas ini adalah barang terpakai.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 April 2015 @ 10:57 AM