Syanty Octavia Amry


Pelakon berbakat Amran Ismail atau ingin dikenali sebagai Amaris mengakui dia menanti watak lebih mencabar untuk terus menggilap bakat lakonannya.

Dia yang dikenali dalam drama Jamilah I Love You ini mengakui ingin membuktikan dirinya antara pelakon serba boleh di persada hiburan tanah air.

"Saya sedar tidak semua orang mengenali saya. Meskipun pernah memegang watak utama dalam beberapa drama, namun jarang yang kenal saya apatah lagi dengan nama baru Amaris.

"Saya tidak kisah soal itu, yang penting dapat membuktikan pada peminat saya berlakon kerana minat dan mahu membuktikan saya juga boleh berlakon apa juga watak.

"Namun sebagai pelakon, kadang-kala saya perlu akur, kebanjiran pelakon sekarang ini membuatkan saya tidak boleh 'demand' watak. Apa saja yang datang saya terima dan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Ketika menghadiri sesi penggambaran drama ini, jemputan yang diterima bukanlah daripada poduksi mahupun pengurusnya Mabel tetapi dia sendiri yang menghantar jemputan kepada pihak media.

Mengulas lanjut me­ngenai perkara itu, Amaris berkata, dia menafikan dirinya ada masalah dengan Mabel.

Namun, katanya, dia terpaksa menguruskan karier seninya kerana Mabel turut mempunyai perniagaan sendiri yang diuruskan di Jakarta, Indonesia.

"Kami tiada sebarang masalah. Malah, saya berasa bersyukur sepanjang menjadi pengurus saya dia banyak memberi tunjuk ajar dalam menguruskan kerjaya seni. Saya berterima kasih kerana Mabel banyak membantu, Alhamdulillah, sekarang saya boleh uruskan diri sendiri.

"Bukan saya tidak mengenang budi sebaliknya saya harus memberi peluang kepadanya mengejar cita-citanya sendiri. Sampai bila dia hendak jadi pengurus saya jika dia boleh melakukan sesuatu yang digemari," katanya.

Dalam pada itu, kata Amaris, Mabel sendiri menghantar mesej kepada beberapa wartawan menyatakan yang dia sudah tidak menguruskannya lagi.

"Namun, hubungan kami masih baik dan kami sering berhubung bertanya khabar antara satu sama lain.

"Saya tidak akan lupa jasanya selama menguruskan saya, dia adalah pengurus yang terbaik pernah saya jumpa setakat ini," katanya.

Jika dulu mereka bertemu dalam drama namun bukanlah sebagai watak utama, kini masing-masing kembali bersatu dalam drama bersiri Cinta Si Egois. Bagi Amaris, dia mengakui dirinya sedikit gementar menjadi hero kepada Sari Yanti dalam drama berkenaan.

Bertemu Amaris di lokasi penggambaran drama itu baru-baru ini, jejaka kelahiran Johor ini mengakui dia juga gembira diberikan watak utama sebagai Aril.

"Alhamdulillah, memang sudah rezeki untuk bawa watak berkenaan. Dalam pada ramai pelakon baru yang muncul dengan persaingan yang sukar diduga, saya masih diberi kepercayaan memegang watak utama.

"Ini adalah gandingan pertama bersama Sari. Sebelum ini, kami pernah berlakon bersama tetapi babak kami tidak banyak seperti di dalam

drama ini.

"Tiada masalah berlakon dengan Sari, masing-masing profesional dalam melakukan watak yang diberi. Sari juga kadang-kala banyak membantu saya bagi menghidupkan watak sebagai lelaki yang psiko dan berlagak.

"Ini adalah drama 30 episod selepas agak lama saya tidak memegang watak utama. Rasa seronok, gementar dan gembira. Macam-macam perasaan ada apatah lagi bekerja dengan sebuah produksi yang bagus seperti ini membuatkan saya rasa lebih yakin terhadap watak yang dijayakan," kata anak kelima daripada enam beradik ini.

Cinta Si Egois bakal ditayangkan di Hypp TV bermula tahun depan. Drama ini turut dibarisi oleh Azam Pitt, Mimi Ernida, Safura Yaacob dan Shahronizam.

Bercerita lanjut wataknya dalam cerita ini, pelakon yang turut terbabit dalam siri terbaru Tanah Kubur ini, menyatakan wataknya kali ini sangat berbeza.

"Tidak saya nafikan watak kali ini sangat mencabar. Belum pernah lagi saya melakonkan watak seperti ini, rasa berlainan sangat.

"Mungkin pada yang menonton berasakan watak sebagai anak orang kaya yang berlagak adalah biasa. Namun, ada beberapa babak yang saya rasa sangat mencabar kerana watak Aril bukan saja berlagak malah psiko dan suka mencari masalah dengan Lisa lakonan Sari.

"Ada satu babak yang saya tidak boleh lupa ketika di dapur yang saya rasa sangat kejam sebagai seorang lelaki. Boleh dikatakan watak saya banyak membuli Lisa namun Lisa tetap sabar melayan kerenah saya sebagai majikan­nya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Disember 2014 @ 5:00 AM