ZARUL turut berlakon.
ZARUL turut berlakon.
BARISAN pelakon drama Cik Serba Tahu.
BARISAN pelakon drama Cik Serba Tahu.
Najiy Jefri


Lumrah manusia cenderung untuk berkawan dan bersosial dengan orang sekeliling, lebih-lebih lagi rakan sekerja.

Hidup pastinya lebih manis jika sahabat sentiasa terbuka hati menyumbang pendapat dan membantu dalam segala hal termasuk menyelesaikan masalah cinta.

Begitulah jalan cerita yang cuba dipaparkan dalam drama bersiri terbaru terbitan Orangetree Production berjudul Cik Serba Tahu. Ia bakal menemui penonton pada 3 April ini di Astro Ria, jam 10 malam.

Sarat dengan elemen komedi dan ‘drama’, karya 16 episod ini bakal membuatkan penonton tidak senang duduk selain ternanti-nanti episod seterusnya.

Drama arahan Suhaimi Zulkefli ini dibintangi Remy Ishak, Sari Yanti, Zarul Umbrella, Iedil Putra, Ako Mustafa, Riana, Nadia Brian dan Idris Khan.

Menurut Suhaimi, cabaran utama selain tekanan disiarkan di slot yang mendapat rating tinggi, pasukannya berdepan kesukaran menghasilkan skrip yang diadaptasi daripada novel mini.

“Ini adalah drama kedua arahan saya selepas Imam MudaKu Romantik. Kami mengambil masa hampir dua bulan menyiapkan skrip supaya dapat memberikan kelainan kepada penonton dan peminat novel.

“Lagipun, bukan mudah untuk kembangkan karakter setiap watak drama ini. Kami perlu memastikan setiap watak yang dibawakan mengikut jalan cerita asal, tetapi disuntik dengan beberapa kelainan supaya penonton lebih teruja menyaksikan drama ini nanti.

“Malah ada juga beberapa watak yang kami kembang­kan memandangkan jalan cerita novel ini agak pendek. Meskipun terdapat penambahan, saya yakin peminat novel ini lebih berpuas hati menontonnya nanti,” katanya.

Menjalani penggambaran sekitar ibu kota, Suhaimi mengakui teruja apabila berpeluang bekerjasama dengan aktor handalan Remy Ishak.

“Hampir lima tahun mengarah drama dan telefilem, peluang bekerja dengan Remy adalah pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan.

“Bagi saya dia pelakon yang hebat dan teliti ketika bekerja. Dia tidak ambil mudah setiap perkara yang dilakukan dan akan memantau babak dilakonkan.

“Selain itu, dia sentiasa bersedia. Dia bukan memilih naskhah, tetapi memilih karakter yang bersesuaian serta tidak pernah dilakonkan sebelum ini. Banyak ilmu yang saya timba dengannya,” kata Suhaimi.

Drama ini mengisahkan pembantu peribadi bernama Aerna Isyqee yang dikenali sebagai Cik Serba Tahu di tempat kerjanya. Hampir setiap perkara diselesaikan dengan mudah dan tidak pernah mengeluh.

Malah banyak hal berkaitan syarikat milik Datuk Azli dan Datin Hazrizah itu dikawal dengan baik selain menyimpan segala rahsia mengenai dua anak majikannya, Bun dan Ben.

Satu hari, Earna dikejutkan dengan kehadiran Carl Adham, sepupu kepada Bun dan Ben yang baru tamat pengajian di luar negara.

Carl dicabar untuk memikat Aerna meskipun masing-masing membenci antara satu sama lain. Hari demi hari cinta mereka mula berputik dan Aerna melihat kesungguhan Carl memenangi hatinya.

Namun konflik mula tercetus apabila Aerna mendapat tahu dirinya menjadi pertaruhan antara Carl, Ben dan Bun.

Sari Yanti ganti Mira Filzah

Sari Yanti yang membawakan watak utama sebagai Aerna mengakui menerima tawaran itu disaat akhir bagi menggantikan Mira Filzah. .

“Selepas meneliti skrip yang diberikan, saya tertarik dengan jalan ceritanya dan ini gandingan ketiga saya dengan Remy.

“Saya difahamkan, drama ini pernah ditangguhkan kerana penghasilan skripnya memakan masa. Malah, ketika penggambaran berlangsung masih banyak yang perlu diperkemaskan.

“Barangkali penulis skrip yang ramai menyukarkan mereka kerana setiap penulis mempunyai terjemahan berbeza mengenai watak.

“Jadi secara tidak langsung ia menyukarkan saya untuk ‘mengunci’ karakter Aerna,” katanya.

Pelakon tamak, tiada hormat

Sementara itu, pengurus produksi drama terbabit yang dikenali sebagai Che Mat Butang mengakui terkilan dengan sikap segelintir pelakon baru yang tidak menghormati kru produksi.

“Sebagai pengurus produksi saya perlu memantau pelakon dan kru agar semua kerja berjalan lancar.

“Bagaimanapun, saya kecewa apabila ada pelakon baru tidak menghormati orang di belakang tabir.

“Mereka tidak seharusnya memberi tekanan kepada kru untuk menyelesaikan penggambaran dengan pantas semata-mata untuk kepentingan diri.

“Sebagai pelakon yang masih mentah, mereka seharusnya tahu kru juga ada komitmen lain. Lagipun, macam mana kerja dapat diselesaikan dengan cepat kalau pelakon tidak menjaga masa mereka dengan baik?” katanya.

Tambah Che Mat, pelakon juga tidak seharusnya tamak menerima pelbagai tawaran lakonan sehingga menyusahkan pihak lain.

“Sikap tamak pelakon melakukan banyak kerja dalam satu masa merosakkan keseluruhan perjalanan penggambaran.

“Mereka seharusnya bersyukur dengan rezeki yang diterima dan pandai menyusun jadual,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 5:02 AM