LEWANDOWSKI (kanan) rai jaringan bersama rakan sepasukan.
LEWANDOWSKI (kanan) rai jaringan bersama rakan sepasukan.

Berlin: Robert Lewandowski menyumbat dua gol bagi memastikan kemenangan 3-0 Bayern Munich ke atas VfL Bochum yang beraksi dengan 10 pemain awal pagi semalam sekali gus layak ke separuh akhir Piala Jerman.

Bayern diundi berdepan Werder Bremen di laman sendiri manakala Hertha Berlin menanti kehadiran Borussia Dortmund pada separuh akhir April ini.

Ia tahun ketujuh berturut-turut Bayern mara ke separuh akhir selepas menjulang trofi itu dengan rekod 17 kali.

Bayern kendalian Pep Guardiola tidak berdepan banyak masalah di kelab divisyen dua Bochum dan sepatutnya menang lebih besar selepas sepakan penalti Thomas Mueller diselamatkan pada babak pertama.

“Sebelum kami menjaringkan gol pertama, ia tidak mudah. Bochum bermain baik dan ia sering kali bahaya dalam aksi piala,” kata Lewandowski.

Bintang serangan Poland itu memberikan Beyern gol pendahuluan pada minit ke-39 menerusi rembatan padu dari sebelah kanan.

Bochum beraksi 10 pemain apabila pertahanan Jan Simunek dibuang padang kerana menjatuhkan Arjen Robben di penjuru kotak penalti pada minit ke-43.

“Saya fikir Robben sengaja menjatuhkan badan dan ia tidak sepatutnya kad merah,” jelas jurulatih Bochum Gertjan Verbeek.

“Anda tidak boleh menang dengan 10 pemain menentang Bayern Munich, tapi kami jelas bertindak baik.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 8:08 AM