REAKSI Lewandowski  selepas menjaringkan gol ketiganya. FOTO  AFP
REAKSI Lewandowski selepas menjaringkan gol ketiganya. FOTO AFP
AFP

Berlin: Robert Lewandowski meledak hatrik ketika Bayern Munich membelasah Hertha Berlin 5-0 awal pagi tadi dan penyerang Poland itu kini melepasi angka 300 jaringan buat juara bertahan Bundesliga.

Bayern mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi jaringan Thomas Mueller dan Lewandowski. Jamal Musiala meledak gol ketiga lima minit selepas rehat dan Lewandowski melengkapkan kemenangan besar Bayern dengan dua jaringan lagi pada babak akhir permainan.

Selepas mencipta rekod 41 jaringan gol di Bundesliga musim lalu, Lewandowski kini sudah meledak lima kali dalam tiga aksi liga musim ini.

Malah, Lewandowski boleh menjaringkan empat gol ketika menentang Hertha namun menghantar bola kepada Mueller untuk gol pembukaan.

"Kadang-kadang gol pertama yang paling penting. Lebih tepat bola itu diberikan kepada Thomas. Saya tahu dia ada di sana,'' kata Lewandowski yang telah menjaringkan tiga gol atau lebih dalam 15 aksi Bundesliga dalam kariernya.

"Kami kuasai permainan dan perancangan kami menjadi. Saya sentiasa 'lapar', saya rasa sangat bagus dan sentiasa harap dapat capai tahap lebih tinggi.''

Mueller pula berkata, aksi Lewandowski berada pada satu tahap di atas pemain lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Ogos 2021 @ 8:38 AM